JELI: Seorang ibu kepada tiga anak maut digilis sebuah kenderaan lain, selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandu suaminya yang terbabas dalam kejadian di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat, mangsa Kamariah Wahab, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suami dan tiga anaknya menaiki kereta jenis Proton Wira dari arah Gerik, Perak.
"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan berkenaan dikatakan hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Proton Wira itu kemudiannya melanggar Toyota Vios dan Perodua Alza yang datang dari hadapan.
"Akibat perlanggaran berkenaan, mangsa tercampak keluar dari kereta lalu digilis Perodua Alza manakala Proton Wira yang dinaiki suami serta tiga anaknya terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ahmad Arifin berkata, bagaimanapun tiga anak dan suami mangsa, Abd Razak Shalleh, 70, berjaya keluar daripada kenderaan yang terbakar itu.
Beliau berkata, suami mangsa cedera parah manakala tiga anaknya, Siti Razanah Abd Razak, 18 mengalami cedera ringan dan Nur Hafeza, 16 serta Nur Zahira, 10, masing-masing bengkak di lutut kanan.
"Pemandu serta penumpang Toyota Vios juga cedera ringan manakala dua beranak yang menaiki Perodua Alza pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Wanita itu dibawa ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, pihakmya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.37 pagi dan lapan pegawai serta anggota bergegas ke lokasi.
"Kami difahamkan mangsa dan keluarganya dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah dan ingin ke Kuala Krai.
"Selepas merempuh dua kenderaan lain, Proton Wira itu dikatakan berpusing beberapa kali sebelum terbakar dan sebaik kami tiba, kereta itu masih terbakar namun tidak marak dan kami mengambil masa kira-kira tiga minit untuk memadamkannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan