Jumaat, 3 Disember 2021

Ibu luah rasa gusar selepas 114 murid Sekolah Seri Puteri disah positif COVID-19

Juliana bersama anaknya yang merupakan salah seorang kontak rapat kepada rakan Sekolah Seri Puteri.

IBU salah seorang murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya hari ini meluahkan rasa gusar selepas anaknya disahkan sebagai salah seorang kontak rapat kes COVID-19 yang dilaporkan berlaku di sekolah tersebut semalam.

Juliana Seth, 41, mengatakan perasaan itu hadir selepas dia gagal berhubung dengan puteri kesayangannya, Yuzlia Qistina Alya Mohd Yuzafi sejak dua hari lalu.

“Anak saya tingkatan tiga, semalam anak-anak tingkatan satu dan dua telah disahkan positif. Kami masih menunggu keputusan anak-anak yang lain,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Beliau hari ini turut berkongsi sebuah video di aplikasi TikTok miliknya menunjukkan dua buah bas menyusur keluar dari sekolah elit itu membawa murid-murid yang disahkan positif COVID-19 ke pusat kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, (MAEPS).

Dalam kapsyen video berkenaan, Juliana meminta supaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku kepada anak-anak mereka.

Tambah Juliana lagi, dia tidak menyalahkan guru yang menjadi punca kepada jangkitan itu kerana guru itu hanya menjalankan tugas dan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah sangat ketat.

“Cikgu juga mempunyai keluarga, perlu keluar untuk membeli barang dapur dan sebagainya. Saya rasa cikgu tersebut tidak tahu yang dia dijangkiti kerana dia tiada simptom.

“Saya harap KPM buka mata kerana pada pendapat saya, sepatutnya KPM perlu fokus terlebih dahulu kepada murid yang bakal menjalani peperiksaan besar seperti tingkatan empat dan lima untuk kecilkan ‘circle’,” jelasnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum itu melaporkan, seramai 71 orang murid dan dua guru disahkan positif COVID-19 dihantar ke MAEPS manakala 242 orang kontak rapat serta murid dikuarantin di asrama sekolah.

Malam tadi, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin mengesahkan berlaku kes jangkitan COVID-19 di sekolah berkenaan melibatkan murid tingkatan satu dan dua sekolah itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam satu kenyataan mengatakan kluster sekolah itu bermula dengan seorang guru yang didapati bergejala pada 22 November lalu dan disahkan positif dua hari kemudian (24 November).

Sehingga kini seramai 946 orang terdiri daripada 849 murid, 59 guru dan 38 petugas telah disaring sehingga pukul tiga petang hari ini.

Seramai 139 kes kini disahkan positif melibatkan 114 murid, 15 guru dan 10 petugas sekolah berkenaan.

“Kesemua 139 kes berada dalam keadaan stabil kategori 1 dan 2A (bergejala tetapi risiko rendah).”

Tiada ulasan: