Sabtu, 4 Disember 2021

Hujan berterusan punca tanah runtuh Simpang Pulai – JKR

Pihak bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Simpang Pulau-Blue Valley, semalam. GAMBAR: Bomba Perak

PUNCA kejadian tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley sehingga mengorbankan dua mangsa semalam adalah disebabkan keadaan hujan yang berterusan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali berkata, berdasarkan alat pengesan jumlah taburan hujan yang direkodkan di lokasi, kadar taburan hujan agak tinggi iaitu sebanyak 217 mililiter selama dua minggu dan keadaannya berterusan sehingga mengakibatkan kelemahan pada tebing jalan seterusnya menyebabkan berlakunya runtuhan tanah.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati bahawa ia adalah satu runtuhan yang besar membabitkan melebihi 10,000 meter kiub tanah,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian hari ini.

Hamdan berkata, pihaknya akan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah bagi tindakan jangka masa pendek.

“Oleh kerana kandungan tanah yang tinggi kami akan melakukan pembersihan tanah selama satu minggu dan kami akan sentiasa membuat pemantauan keadaan kestabilan cerun dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti tindakan untuk jangka masa panjang.

“Setakat ini kami masih dalam kajian untuk membuat proses kerja pembaikan jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata kejadian tanah runtuh di kawasan itu merupakan pertama kali berlaku dan berlaku di luar jangkaan.

“Keadaan cerun itu sebahagian stabil dan sebahagian lagi tidak stabil, jadi kami masih lagi dalam kajian keadaan cerun ketika ini. Panjang cerun yang terjejas adalah kira-kira 100 meter,” katanya.

Beliau berkata, laluan berkenaan dijangka akan dibuka semula pada 9 Disember ini setelah selesai kerja-kerja pembersihan dan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Menurutnya pusat pemantauan cerun yang ditempatkan di Seksyen 44 mendapati keadaan stabil dan pemantauan cerun dilakukan di tiga lokasi antara Seksyen 38 hingga Seksyen 48.

“Setakat ini, pemantauan yang dijalankan di lokasi lain bersama pihak konsesi mendapati terdapat runtuhan kecil di dua lokasi tapi tidak kritikal dan laluan masih boleh dilalui,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Shahrizal Aris berkata pihaknya menggunakan dua ekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa lain yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

Menurut beliau, pihaknya juga menunggu pihak JKR melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan tanah runtuh berkenaan bagi melakukan operasi pencarian.

“Kami mungkin akan menggerakkan operasi sebanyak dua kali, yang kali pertama sekiranya keputusan negatif kami akan membuat kerja pembersihan sekali lagi dan sekiranya pengesahan kali kedua menunjukkan negatif (tiada mangsa), kami akan membuat keputusan sama ada hendak teruskan atau tamatkan operasi ini,” katanya.

Shahrizal berkata, bagaimanapun sehingga kini pihaknya belum menemukan sebarang petunjuk terdapat mangsa lain dalam kejadian tanah runtuh tersebut.

Beliau berkata sama ada kerja-kerja pembersihan itu akan diteruskan atau sebaliknya, pihaknya menunggu saranan Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG) untuk mengesahkan dari segi tahap bahaya di kawasan lokasi.

Insiden tanah runtuh tengah hari semalam menyebabkan pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, maut akibat tertimbus sebelum mayat mereka berjaya dikeluarkan oleh pasukan JBPM malam tadi. – BERNAMA

Tiada ulasan: