MIRI: Selagi dikurniakan kesihatan yang baik, dua beradik warga emas, Siti Jaharah Matassan, 70, dan Halimah Matassan, 72, akan terus menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Kedua-duanya kelihatan teruja dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau hari ini, walaupun Halimah terpaksa menggunakan kerusi roda.
Halimah yang ditemani anak saudaranya terpaksa diangkat dan dipapah untuk ke Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Miri Utara.
Siti Jaharah berkata, menjadi tanggungjawab bagi mereka mengambil bahagian dalam PRN-12 kali ini, selepas turut melakukan perkara sama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Katanya, mereka berdua berharap terus diberikan kesihatan yang baik agar dapat mengundi lagi pada PRU akan datang.
"Sebagai rakyat, kami hanya berharap wakil rakyat yang terpilih dapat menunaikan janji ketika kempen bagi membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri ini.
"Masalah utama kami adalah kos kehidupan yang semakin tinggi ketika ini dengan ia perlu diselesaikan segera," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan