Selasa, 21 Disember 2021

Bodoh, banjir bodoh

Faisal Tehrani, Malaysia Now

 

Sebenarnya banjir berlaku kerana ada ramai yang bodoh mengatasi yang tidak berapa bodoh.

Sudah ramai yang mati. Terkorban kerana banjir.

Apabila berlaku bencana alam, seperti banjir, kita akan kembali kepada beberapa sebab-musabab.

Rakyat Malaysia tidaklah terlalu bodoh.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu yang negara ini berada di kawasan beriklim tropika dan tidak dapat dielakkan menerima curahan hujan yang banyak.

Secara mudahnya, purata hujan tahunan bagi Semenanjung Malaysia ialah sekitar 2,500 mm manakala bagi Sabah dan Sarawak lebih kurang 3,500 mm.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu, terdapat juga keadaan di mana hujan mencurah luar biasa pada ketika yang tidak dapat ditebak sehingga mengakibatkan banjir atau bah besar.

Tidaklah terlalu sulit untuk kita memahami yang negara ini juga terbangun oleh selirat sungai yang memerlukan layanan.

Dalam banyak keadaan apabila air sungai sedia ada tidak dapat mengalir terus ke laut lantas bertembung dengan air pasang tinggi, bah besar akan turut berlaku.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu Melaka, Pulau Pinang, dan Kelang sering berdepan dengan gejala ini.

Sudah ramai yang mati, terkorban kerana banjir. Salah satu puncanya ialah kerana pembangunan yang semberono.

Rakyat Malaysia tidaklah terlalu bodoh. Kita misalnya cukup tahu yang negara ini berdepan dengan pembukaan tanah yang tidak terkawal.

Kita misalnya cukup tahu yang negara ini berdepan dengan pembalakan.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup belajar ilmu alam dan mengetahui yang saat resapan air ke tanah berkurangan, maka air larian terus ke sungai dengan cepat.

Setiap kepesatan pembangunan antara sifar ke 40 peratus, ia akan mengakibatkan kadar alir itu bertambah 190 peratus selain kelajuan bertambah dua kali ganda.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup arif bahawa untuk setiap kadar hakisan yang meningkat, maka akan ada peningkatan kelodak di dalam sungai.

Untuk setiap lapis kelodak yang berlapis ia membawa kepada sungai yang cetek dan tiap batang sungai yang cetek akan mempunyai kemampuan yang lebih rendah untuk menampung air yang kian bertambah.

Untuk air yang kian bertambah, sungai akan melimpah ke tebing.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu hujan yang mencurah akan mendorong air bergenangan, lantas sempadan tebing akan berbaur dengan permukaan jalanan, melimpah ke kawasan kediaman, dan menenggelamkan seisi kampung, kejiranan, taman perumahan; hatta sebuah bandar.

Sebuah bandar raya justeru memerlukan infrastruktur saliran yang mencukupi.

Oleh pembangunan yang tidak diwaspadai, infrastruktur yang tidak mencukupi akan menyebabkan banjir kerap berlaku.

Kita misalnya, seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu oleh setiap aliran sungai yang terhalang dek pelbagai pembinaan, oleh pembuangan sampah sarap tanpa aturan dan disiplin, oleh pembangunan di kawasan yang dikenal sebagai dataran banjir, oleh kegagalan sistem perparitan yang tidak dirapikan; maka rakyat Malaysia yang terlalu bodoh mengatasi mereka yang tidak terlalu bodoh, dan semua faktor itu bergumpal menjadi bencana.

Maka oktober 2021 lalu di kala, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning V Ganabatirau, mengamuk kepada kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ekoran tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda, Rakyat Malaysia yang terlalu bodoh mengatasi mereka yang tidak terlalu bodoh.

Kita seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu Ganabatirau yang juga pengerusi jawatankuasa tetap pemberdayaan dan pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin Selangor, sudah meruok dan penat sehingga aduan demi aduan penduduk berhubung masalah banjir di beberapa lokasi di kawasan itu menimbulkan ketegangan.

Jika pam air dibaiki lama dahulu, maka kita tidak akan dikejutkan dengan tragedi di Sri Muda.

Maka kerja menebuk benteng di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk mengalirkan air ke Sungai Klang (baru bermula setelah kematian) dikira amat terlambat.

Jerkah dan teriak agar sesuatu dilakukan sepatutnya lunas banyak bulan lalu, tetapi kini kelewatan segelintir yang bodoh mengatasi ramainya yang tidak berapa bodoh meragut nyawa.

Penebukan benteng itu terlalu lewat.

Nyawa sudah melayang. Nyawa ini melayang kerana kita membiarkan kebodohan mengatasi.

Kita seperti anak-anak di sekolah menengah pasti cukup tahu bahawa alam memberi petanda banyak bulan lalu.

Kerap terjadi kawasan perumahan Sri Muda ini dinaiki air hingga ke paras pinggang ekoran masalah perparitan, dan minggu ini pelbagai faktor ikut menggumpal sama.

Kita rakyat Malaysia tidak terlalu bodoh.

Pun, kadang-kala ada rakyat Malaysia yang bodoh akan mengatasi ramainya rakyat Malaysia yang tidak terlalu bodoh.

Lantas setiap pesan alam diabaikan. Sudah ramai yang mati. Terlalu malang.

Mereka terkorban kerana banjir.

Apabila berlaku bencana alam, seperti banjir, kita akan kembali kepada beberapa sebab-musabab.

Sebab-musabab itu sudah saya nyatakan di atas, akan tetapi kadang-kala sebab yang paling utama hanyalah satu, iaitu kerana ada rakyat Malaysia yang bodoh mengatasi ramainya rakyat Malaysia yang tidak terlalu bodoh.

Sebenarnya banjir berlaku kerana ada ramai yang bodoh mengatasi yang tidak berapa bodoh. ,MALAYSIA TODAY

Tiada ulasan: