Selasa, 21 Disember 2021

Bank Rakyat tawar moratorium enam bulan kepada mangsa banjir

zuhayati

Kurangkan beban kewangan pelanggan yang terjejas akibat banjir dan COVID-19

KUALA LUMPUR – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) prihatin terhadap pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan pelanggan yang terjejas akibat banjir dan pada masa yang sama berdepan pula dengan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19.

“Bank Rakyat sentiasa komited membantu semua pelanggan kami yang terjejas, seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan kami berharap bantuan ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu yang mencabar ini.

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

“Ini termasuklah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” jelas beliau.

Pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui e-mel morabanjir21@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor  kad  pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Manakala pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh terus menghubungi Pusat Perniagaan PKS dan Koperasi (SME & Cooperatives (SMEC) Business Centre) bagi mendapatkan bantuan, jelas Bank Rakyat.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat Wilayah berdekatan dengan mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat untuk mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa, tambahnya. – Bernama

Tiada ulasan: