Rabu, 22 Disember 2021

Banjir lumpur Bentong: Mayat wanita dikenal pasti

Anggota penyelamat membawa mayat wanita yang ditemui 200 meter dari lokasi kejadian di Chalet Bobby Echo Camp, Bentong, pagi tadi.- FOTO BOMBA
Anggota penyelamat membawa mayat wanita yang ditemui 200 meter dari lokasi kejadian di Chalet Bobby Echo Camp, Bentong, pagi tadi.- FOTO BOMBA

JERANTUT: Wanita yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Chalet Bobby Echo Camp, Bentong, Sabtu lalu sebelum ditemui maut pagi tadi, dikenal pasti sebagai Yap Koon Lan, 65.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata mayat mangsa ditemui pada jam 10.15 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat di bawah sisa balak dan pasir. Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya hari ini.

Terdahulu, BERNAMA melaporkan satu mayat wanita yang menjadi mangsa tragedi berkenaan ditemui pagi ini, manakala dua lagi dikhuatiri masih hilang.

Media semalam melaporkan, tiga individu hilang dihanyutkan arus sungai di sebuah chalet di Bentong, menjelang tengah malam pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, 35 orang termasuk sembilan kanak-kanak dilaporkan terkandas dalam kejadian banjir lumpur yang menenggelamkan restoran dan tiga kolam ternakan ikan patin, manakala pagar utama chalet turut roboh.

Operasi digerakkan pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 32 individu, manakala tiga lagi hilang.

Pasukan mencari dan menyelamat dilapor mengenal pasti dua 'hot spot' yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dan di bawah timbunan kayu balak.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan untuk ke chalet dipenuhi lumpur susulan kesan arus deras selain terdapat banyak batu besar dipercayai bergolek dari kawasan tinggi, timbunan kayu balak serta beberapa runtuhan tanah sederhana di lereng bukit chalet berkenaan.

Keadan chalet juga terjejas dan separuh musnah, manakala bahagian bawahnya diseliputi selut tebal.

Pusat Gerakan Operasi, JBPM Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 malam sebelum mengarahkan Balai Bomba Penyelamat (BBP) Genting Highlands dengan bantuan BBP Gombak ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat bersama Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Tiada ulasan: