KEADAAN banjir di luar jangka melanda Lembah Klang, terutama Selangor sejauh ini dilaporkan telah meragut sembilan nyawa di negeri ini.
Terbaharu, dua lagi mayat dipercayai dua beranak ditemukan di kawasan Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkannya memberitahu, mangsa dipercayai berusia warga emas berumur antara 70 dan 90 tahun.
Sebelum itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad mengesahkan tiga mangsa ditemui lemas dan seorang ditemui meninggal dunia di ruang atas rumah di Taman Sri Muda pagi tadi.
Dua lagi mangsa bencana dipercayai terkorban di Dengkil, Sepang dan seorang lagi di Desa Coalfields, Kuala Selangor.
Seorang mangsa dikhuatiri masih hilang dipercayai di Sungai Pinang, Selangor
Situasi banjir di Lembah Klang ketika ini, terutama Selangor disifatkan luar biasa dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.
Hujan berterusan kadang-kala lebat selama dua hari mulai Khamis lalu di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.
Setakat ini, rekod banjir di lapan negeri di Semenanjung Malaysia menunjukkan sejumlah 398 PPS telah dibuka dan melibatkan 50,566 mangsa dari 14,693 keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan