Rabu, 15 Disember 2021

Bahasa Melayu kini di ‘fasa bertahan’ daripada ancaman dipinggirkan

 Oleh Zuhayati Yazid

Peranan pemimpin pengaruhi usaha martabat bahasa Melayu

BANGIBahasa Melayu mungkin mengikuti jejak tulisan Jawi sekiranya tiada pihak yang serius mempertahankan bahasa kebangsaan, lambang identiti dan jati diri bangsa.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, bahasa Melayu kini berdepan ancaman hebat untuk dipinggirkan dan kini berada dalam ‘fasa bertahan’.

Walhal, bahasa Melayu mampu melangkah lebih jauh sekiranya kita memartabatkannya di kedudukan yang sebenar.

“Bahasa Melayu terbukti bahasa yang boleh menuturkan pemikiran yang ringan dan berat serta boleh mengungkapkan segala makna, idea, perbincangan yang boleh kita ungkapkan sebagai bahasa ilmu

“Tapi malangnya buat masa ini hanya mampu bertahan dengan ancaman-ancaman yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Dimensi: Negara Maju Guna Bahasa Melayu, Bagaimana Dengan Malaysia? yang disiarkan secara langsung menerusi TV Pertiwi, malam ini.

Beliau menjelaskan buat masa ini, negara masih bernasib baik kerana ada beberapa pihak yang masih mempertahankan bahasa kebangsaan daripada terus dipinggirkan.

“Kita masih lagi bernasib baik buat masa ini kerana ada beberapa pejuang yang masih pertahankan seperti Dewan bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan beberapa yang lain tetapi tidak tahu sampai bila mereka boleh bertahan,” katanya.

Ditanya mengenai mengenai usaha untuk mengembalikan martabat dan kedudukan bahasa yang melambangkan identiti negara, beliau berkata, jati diri yang kuat memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ke arah itu.

“Tidak mustahil untuk kita kembalikan kedudukan bahasa Melayu namun perlu ada jati diri yang kuat dan tidak mustahil boleh mencontohi Jepun yang maju dengan bahasanya sendiri,” katanya.

Tidak ada salahnya kita mencontohi Jepun yang menganggungkan bahasa ibunda mereka sehingga pihak luar terpaksa tunduk dengan kekuatan yang mereka ada.

Tambah beliau, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ini perlu melibatkan kerjasama yang menyeluruh daripada semua pihak.

Malah, peranan pemimpin juga turut mempengaruhi dalam kejayaan ini kerana kelonggaran daripada pihak itu akan menggoyahkan lagi usaha untuk mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu.

“Perkara itu terbukti hari ini, di atas sikap toleransi yang tinggi sehingga mengetepikan kedudukan bahasa Melayu itu di tempat yang sebenar,” katanya.

(*) Pautan Dimensi:
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/208234158176507

Tiada ulasan: