Isnin, 13 Disember 2021

ANSARA mohon beri ruang pihak berkuasa siasat kes buli

 Siti Hafidah

Usul kempen antibuli sebagai salah satu program khusus masa akan datang

BANGI – Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) memohon semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan dan merencatkan proses siasatan berhubung kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak.

Dalam satu kenyataan hari ini, ANSARA mengakui memandang serius kes-kes sedemikian terutama yang membabitkan keselamatan pelajar termasuk perbuatan buli.

“Bagaimanapun, ANSARA berharap semua pihak terutama ahli-ahli ANSARA bertenang dan memberikan ruang kepada pihak berwajib yang sedang dalam proses siasatan kes tersebut.

“ANSARA sentiasa komited dalam membantu pihak MARA memberikan bantuan melalui program-program yang dijalankan bersama pihak MARA (seperti program Sirih Pulang Ke Gagang).

“Pihak kami akan mengusulkan program khusus seperti kempen antibuli sebagai salah satu program khusus pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, ANSARA berharap semua pihak mendapat iktibar dari insiden berkenaan supaya kes sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan.

Sebelum ini, tular video berdurasi 10 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.

Video itu mendapat perhatian warganet dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang semuanya berusia 13 tahun.

Susulan itu, polis memanggil semua pelajar terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: