Khamis, 16 Disember 2021

Aksi 5 lelaki kutip bata bertaburan di tengah jalan selamatkan nyawa pengguna jalan raya

kutp batu bata
Lima lelaki dilihat mengalihkan batu bata ke tepi jalan.

AKSI pantas lima lelaki yang prihatin mengalihkan batu bata yang bertaburan di atas jalan raya selepas ia terjatuh daripada sebuah lori, berhampiran sebatang jalan di Pekan Senai, Johor berjaya mengelak daripada kejadian tidak diingini berlaku.

Kelibat mereka berlima yang mempertaruhkan nyawa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya patut dipuji dan disanjung kerana bukan semua dalam kalangan kita mampu melakukan perkara yang sama.

Menerusi satu video pendek yang dikongsi @lieyasalid di akaun TikToknya dengan kapsyen “orang Malaysia memang terbaik” menunjukkan kelima-lima lelaki itu dengan pantas mengalihkan semua batu bata tersebut ke tepi jalan.

Kata Emiliah Salid, kejadian berlaku pagi kira-kira pukul 9 kelmarin ketika dia hadir ke sebuah klinik berhampiran untuk menjalani pemeriksaan kandungan.

“I pergi check up, ada lori ni bawak laju, habis bata dia terabur.

“Nasib tak kena orang,” katanya kepada UtusanTV

Ujarnya, ketika kejadian terdapat sebuah motosikal berada betul-betul di belakang lori tersebut.

“Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku masa batu bata itu jatuh,” ujarnya wanita berusia 26 tahun.

Katanya, penunggang motosikal itu terus berhenti di tepi jalan sebelum bertindak mengalihkan batu bata tersebut.

“Kemudian barulah beberapa buah kenderaan lagi yang turut berhenti dan tolong sekali. Ada dalam lima orang yang membantu mengalihkan batu bata itu,” tambahnya.

Ujarnya, berlaku sedikit kesesakan ketika proses mengalihkan batu bata itu dan kesemua pengguna jalan raya dilihat bersabar menunggu sehingga jalan tersebut boleh dilalui kembali.

“Saya rasa terharu masa lihat orang ramai turun daripada kenderaan dan tolong alihkan batu tersebut. Rakyat Malaysia ini memang prihatin kerana tak ada pun yang nak hon disebabkan semua faham waktu itu,” katanya.

Rata-rata warganet di ruangan komen turut tersentuh akan usaha orang ramai yang membantu mengalihkan batu bata tersebut.

“Terbaik yg membntu tu…bnyk dpt pahala dri kebaikan hnya dgn alihkn batu tu…mudah utk dpt pahala,” kata @geguli.

“Alhamdulillah. Ramai rakyat MALAYSIA yang sangat baik2. Semoga ALLAH SWT mempermudahkan setiap urusan anda semua setiap masa. In sya Allah. Aamiin,” tulis @mamalisa.

“mmg respect betullah rakyat Malaysia….. prihatin 300%,” komen @zamriabdwahab527.

Tiada ulasan: