BERNAMA
Tindakan itu dilakukan
selepas anggota terbabit didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai
kesalahan yang dilakukan seperti penagihan dadah dan kesalahan jenayah.
Seramai tujuh anggota polis dikenakan tindakan buang kerja sejak awal Januari lalu hingga hari ini, kata Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas anggota terbabit didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai kesalahan yang dilakukan seperti penagihan dadah dan kesalahan jenayah.
“Sepanjang tahun ini sebanyak 116 laporan diterima oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kelantan, berhubung salah laku disiplin pegawai dan anggota.
“Daripada jumlah itu, 61 kes sudah berjaya diselesaikan manakala baki 55 kes masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata kebanyakan kes melibatkan anggota berpangkat rendah dan berlaku di peringkat daerah.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata sejumlah 770 kes penipuan dengan jumlah kerugian bernilai RM14.2 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di negeri ini sejak awal Januari hingga 30 November tahun ini, berbanding tahun lalu merekodkan 866 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM17 juta.
“Walaupun jumlah kes menurun namun penipuan e-dagang dan tipu pelaburan dalam talian pula menunjukkan peningkatan, dengan masing-masing merekodkan 318 dan 68 kes.
“Kebanyakan kes penipuan seperti ini berlaku disebabkan mangsa kekurangan ilmu, kerana mereka sepatutnya menyiasat terlebih dahulu kesahihan pihak yang mereka berurusan atau menawarkan pinjaman tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan