Rabu, 15 Disember 2021

48 kematian akibat Covid-19 semalam, Pulau Pinang tertinggi


Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam meningkat kepada 48 kes, termasuk 12 pesakit meninggal dunia sebelum menerima rawatan hospital atau ‘brought in death’ (BID), berbanding 29 yang direkodkan pada Isnin, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu akibat Covid-19 meningkat kepada 30,956 kes, termasuk 6,266 kes BID.

Pulau Pinang mencatat jumlah kematian harian tertinggi dengan lapan kes menjadikan kumulatif sebanyak 1,694 kes, termasuk 363 kes BID. Negeri itu turut merekodkan 157,184 kes positif, dengan 152,599 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, 2,972 kes masih aktif di Pulau Pinang, termasuk 2,587 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 139 ditempatkan di PKRC; 216 dimasukkan ke hospital; dan 30 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai 1,517,526 atau 85.6 peratus populasi di negeri itu lengkap divaksinasi, manakala 86.5 peratus atau 1,533,056 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 186,669 individu menerima suntikan dos penggalak.

Daripada jumlah itu, 1,387,328 atau 101.5 peratus individu dewasa di negeri itu melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, manakala 102.3 peratus atau 1,398,943 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pada masa sama 130,198 atau 92.0 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 134,113 atau 94.8 peratus remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pulau Pinang turut mencatat 20 kes aktif, dengan sembilan daripadanya membabitkan tempat kerja; kumpulan berisiko tinggi (enam); dan pendidikan (lima kluster).

Berdasarkan maklumat laman sesawang KKM, Covidnow, Kelantan, Sabah dan Terengganu masing-masing merekodkan enam kematian semalam; diikuti Selangor (lima); Perak (empat); masing-masing tiga di Johor serta Negeri Sembilan; Kuala Lumpur dan Kedah masing-masing dua kes; dan masing-masing satu kes di Pahang, Sarawak dan Labuan.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Perlis, dan Putrajaya.

Sementara itu, kes aktif di seluruh negara turun lagi kepada 57,674, dengan 47,600 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah, dan 5,280 ditempatkan di PKRC.

Seramai 4,412 pesakit lagi dimasukkan ke hospital dan 382 dirawat di ICU dengan 201 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam negara merekodkan 2,699,240 kumulatif kes positif, dengan 2,610,610 pesakit telah sembuh.

Tiada ulasan: