Ahad, 12 Disember 2021

298 kes baharu mempunyai varian membimbangkan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan 298 kes baharu yang mempunyai varian membimbangkan (VOC), pada 19 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata VOC yang dikesan itu termasuklah Omicron yang dilaporkan di Perak sebelum ini.

Beliau berkata, selain Omicron, turut dikesan ialah 297 varian lain termasuk Delta dan Beta.

"Varian Omicron itu dikesan oleh Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) bersama 109 kes yang kesemuanya mempunyai varian Delta.

"Selain itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan 108 kes yang dijangkiti varian Delta dan enam varian Beta manakala, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) turut mengenal pasti 44 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Tropical Infectious Diseases Research and Education Centre (TIDREC) pula mengenal pasti 17 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta.

"Turut dikesan ialah 12 kes varian Delta dengan satu varian Beta oleh Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 4,990 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 4,970 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 4,722 kes varian Delta, Beta (233), Alpha (14) dan Omicron (satu).

"Bagi kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta; Kappa (empat) dan Eta (tiga)," katanya.

Tiada ulasan: