Selasa, 14 Disember 2021

29 kematian baharu, kes aktif turun


Seramai 29 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam berbanding 17 kes yang dilaporkan pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 30,908, termasuk 6,254 yang meninggal sebelum sempat diberi rawatan di hospital atau kes ‘brought in death’.

Daripada jumlah kematian semalam, Terengganu mencatat lima kes, kekal tertinggi dua hari berturut-turut, menjadikan keseluruhannya 649 pesakit di negeri itu yang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19. Semalam negeri itu mencatat empat kes kematian.

Sehingga semalam, Terengganu mencatat 2,223 kes akitf dengan 1,546 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 401 ditempatkan di PKRC; 257 dimasukkan ke hospital; dan 19 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 15 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pula masing-masing merekodkan empat kematian; diikuti masing-masing tiga kes di Kelantan, Sabah, Sarawak serta Selangor; dan masing-masing satu kes di Kedah, Pahang, Perlis, serta Pulau Pinang.

Tiada kes kematian direkodkan di Johor, Melaka, Perak, Labuan dan Putrajaya semalam.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Covidnow, KKM memaklumkan jumlah kes aktif di seluruh negara turun kepada 57,926 semalam.

Daripada jumlah itu, 47,751 pesakit menjalani kuarantin di rumah, dengan paling tinggi direkodkan di Selangor sebanyak 14,680 kes; seramai 5,263 ditempatkan di PKRC; 4,504 dimasukkan ke hospital; dan 408 pesakit dirawat di ICU, termasuk 206 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada enam kluster baharu yang dilaporkan semalam, tiga melibatkan kategori pendidikan, dan masing-masing satu kluster komuniti, tempat kerja, dan kumpulan berisiko tinggi.

Semua kluster baharu yang dikesan semalan dilaporkan di Negeri Sembilan (komuniti), Pulau Pinang (pendidikan), Johor (tempat kerja), Kelantan (pendidikan), Kedah (pendidikan), dan Pahang (kumpulan berisiko tinggi)..

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam, negara merekodkan 2,695,143 kes positif, termasuk 6,155 kes import, dan 2,606,309 pesakit telah sembuh.

Tiada ulasan: