Sabtu, 18 Disember 2021

12 PPS dibuka di Kelantan, Gua Musang rekod mangsa tertinggi

Oleh YATIMIN ABDULLAH
Situasi terkini paras air Sungai Kelantan di Kuala Krai hari ini. /FOTO MEDIA SOSIAL

KOTA BHARU – Hujan berterusan menyebabkan mangsa banjir di Kelantan semakin bertambah apabila 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat buah daerah telah dibuka sehingga pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut aplikasi InfoBanjirJKM, seramai 811 mangsa dari Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah dilaporkan berada di PPS.

Gua Musang merekodkan mangsa banjir tertinggi di negeri ini dengan melibat seramai 571 orang yang ditempatkan di dua buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi.

Daerah Kuala Krai pula menunjukkan pertambahan apabila dua buah PPS baharu diaktifkan iaitu di SK Manek Urai Lama dan Taska Kampung Jenal.

Enam PPS di Kuala Krai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, Pejabat Veterinar Daerah, SK Sungai Embak, Chenulang, Laloh dan Banggol Guchil telah dibuka yang menempatkan 188 mangsa kesemuanya.

Sementara itu, hanya satu sahaja PPS di Jeli yang di buka melibatkan SK Kuala Balah (44) dan Tanah Merah iaitu di SK Keleweh (8). -K! ONLINE

Tiada ulasan: