Ahad, 8 Ogos 2021

Tidak perlu uji sendiri keberkesanan vaksin Covid-19, kata Khairy


Tiada garis panduan klinikal dikeluarkan setakat ini untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan tepat.

Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan ujian terhadap antibodi vaksin Covid-19 bagi menentukan tahap keberkesanannya kerana tiada garis panduan klinikal dikeluarkan setakat ini untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan tepat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat juga tidak menggalakkan keadah berkenaan.

“Kementerian Kesihatan akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkara itu). Masih tidak ada garis panduan klinikal untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan yang tepat.

“Saya harap orang ramai tidak akan menjalankan ujian antibodi kerana banyak perkara yang masih lagi kita tidak tahu mengenai tindak balas imun yang kita dapat dari vaksin Covid-19,” katanya hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal melaporkan tiga individu termasuk seorang peguam, mendakwa bahawa antibodi terhadap Covid-19 tidak dikesan dalam badan mereka setelah menerima dua dos vaksin Sinovac.

Katanya, hasil kajian itu katanya akan didedahkan kepada orang ramai sebaik sahaja menerima keputusan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar esok dan akan memberi taklimat kepada kerajaan negeri mengenai perancangan dalam memastikan peningkatan kes di negeri itu dapat dikawal melalui pelbagai strategi vaksinasi.

Sementara itu, enam negeri dibenarkan memulakan inisiatif pemberikan vaksin secara datang terus atau ‘walk-in’ membabitkan Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak.

Bagaimanapun setakat ini, inisiatif yang dimulakan di Lembah Klang itu akan diperluaskan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Malaysia, untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat ini.

Hanya lima golongan yang dikhususkan untuk program vaksinasi secara walk-in ini iaitu warga emas, orang kelainan upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua dan guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan.

Bagi individu yang terlepas suntikan dos kedua, mereka boleh pergi ke mana-mana PPV yang berhampiran dengan kediaman. Sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos 1 mereka, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

Perincian pelaksanaan vaksinasi secara walk-in akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing. Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara walk-in di PPV bagi setiap negeri.

Tiada ulasan: