Ahad, 8 Ogos 2021

Polis beri amaran kepada kumpulan baju hitam


Polis memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap perhimpunan haram.

Polis memberi amaran tidak akan bertolak ansur lagi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mana-mana pihak yang masih berdegil akan dikenakan tindakan tegas.

“Polis mengambil maklum terdapat pihak yang merancang mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos 2021.

“Perancangan aktiviti sedemikian adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta membelakangkan keselamatan kesihatan dalam senario semasa penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuat kuasa demi keselamatan kesihatan umum.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan kumpulan baju hitam yang berjuang demi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, merancang untuk keluar berdemonstrasi sekali lagi pada 21 Ogos ini di ibu negara, walaupun kes jangkitan Covid-19 tinggi direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini.

Jurucakap penganjur Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Sabah berkata, himpunan lebih besar akan diadakan memandangkan kes Covid-19 semakin tinggi dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa lemah dalam menguruskan krisis Covid-19 yang sedang dihadapi negara.

Sabtu lalu, kumpulan baju hitam berkumpul di luar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selepas mereka dihalang oleh polis daripada memasuki Dataran Merdeka yang mana mereka bercadang untuk membuat tunjuk perasaan.

Peserta baju hitam himpunan haram yang kebal Covid-19 nyata kecewa apabila idola mereka, Anwar tidak hadir bersama berhimpun sebaliknya hanya Naib Presiden PKR, Tian Chua yang turun memberi sokongan.

Tiada ulasan: