Rabu, 11 Ogos 2021

Sultan Johor kecewa pihak ganggu kerajaan, cuba rebut kuasa


Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan terhadap pemimpin yang menganggu tugas kerajaan tatkala rakyat berada dalam kesusahan susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Baginda juga mengingatkan pemimpin beragama Islam dan berbangsa Melayu supaya menginsafi kuasa pemerintahan adalah hak yang ditetapkan Allah SWT.

Sehubungan itu baginda menyeru pemimpin berkenaan mengutamakan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah S.W.T.

“… dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titah baginda dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini

Sultan Ibrahim bertitah semua pemimpin perlu jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

“…Bukannya kepentingan diri sendiri sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah baginda.

Sultan Johor dipercayai menzahirkan kekecewaan susulan tindakan pemimpin politik daripada kumpulan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekarang ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

Tiada ulasan: