Jumaat, 6 Ogos 2021

Kelonggaran kepada penerima dos lengkap sehari dua lagi, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penerima dos lengkap vaksin Covid-19 akan diberikan kelonggaran dan garis panduan tersebut akan diumum sehari dua lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata perincian berhubung kelonggaran tersebut sedang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas pertimbangan dan kajian yang teliti mengikut prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan.

“Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu orang ramai yang sudah mendapat dua dos.

Kelonggaran dan kemudahan seperti contohnya rentas negeri, rentas daerah, nak jumpa ibu bapa atau pasangan suami isteri yang terpisah, itu kita akan putuskan,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, Muhyiddin melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga, Pagoh hari ini.

Beliau berkata pengumuman itu juga akan melibatkan sektor sosial seperti “dine in” atau makan di dalam premis makanan serta aktiviti riadah dan sukan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP meskipun kerajaan mengumumkan kelonggaran berkenaan.

“Kita belum sampai ke nilai ambang atau herd immunity (imuniti kelompok) dan kalau ada keterbukaan, kita belum lagi berada dalam situasi di mana warga kita divaksinasi 100 peratus.

Apa pun saya akan umumkan dengan SOP yang kita akan tetapkan dan dengan itu saya harap adalah sedikit rasa selesa untuk riadah, bersukan seperti main badminton, golf atau pergi gim dan sebagainya. Ini yang ditimbang MKN cuma belum diumumkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus melaksanakan usaha membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 antaranya menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

“Masih ramai orang yang tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan. Jadi ini komitmen kita kerana saya nak menentukan setiap penduduk Malaysia mendapat makanan di atas meja,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil yang diwakili Pengarah Felda Wilayah Segamat Mohd Nizam Abdul Ghani.

Tiada ulasan: