Jumaat, 6 Ogos 2021

Hapuskan pengundian pos domestik, perluas undian awal, kata Bersih 2.0

Bersih 2.0 berharap dapat melihat kerajaan memperkenalkan Akta Penggal 
Tetap Parlimen, dengan matlamat tarikh pilihan raya yang tetap dapat 
ditetapkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kategori-kategori sedia ada bagi pengundi pos domestik perlu dihapuskan kerana “kurangnya ketelusan dan kepercayaan” dalam proses itu serta Suruhanjaya Pilihan Raya, kata Bersih 2.0.

Sebaliknya, ia mencadangkan pengundi pos dibenarkan mengundi melalui pengundian awal.

Bagaimanapun, kumpulan reformasi pilihan raya itu mencadangkan pengundian melalui pos domestik diperluaskan, secara terbatas, kepada orang kelainan upaya atau pengundi dengan masalah kesihatan yang menghalang mereka keluar mengundi secara fizikal.

Cadangan itu terkandung dalam laporan “Meningkatkan Akses untuk Pengundian dalam Pilihan Raya di Malaysia”, oleh Bersih 2.0 untuk mengkaji halangan pengundi melaksanakan hak mereka untuk mengundi di negara ini.

Laporan itu disertakan cadangan bagaimana akses pengundian dapat diperbaharui untuk pengundian lebih selamat dan mudah buat semua pengundi, khasnya semasa wabak Covid-19.

Bersih 2.0 juga mahu sistem pengundian awal diperluaskan kepada pengundi yang dipenjarakan atau di luar kawasan.

Katanya, anggota polis dan tentera perlu mengundi dalam “persekitaran bebas dan tidak tertekan” semasa pengundian awal, tanpa kehadiran pegawai atasan atau syarat lain yang boleh mempengaruhi kebebasan mengundi atau mendatangkan intimidasi kepada mereka.

Bersih 2.0 berkata, SPR perlu memastikan terdapat tempat mengundi mencukupi di kawasan terpencil, khasnya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, SPR juga perlu mengkaji penambahan tempat mengundi di kawasan bandar agar pengundian jadi lebih mudah dan murah kepada pengundi berpendapatan rendah.

Dari segi langkah kesihatan dan keselamatan, pusat mengundi atau saluran pengundian tambahan perlu dibuka bagi mengelakkan terlalu ramai pengundi.

“Jumlah pengundi per aliran pengundian perlu dihadkan kepada 400 pengundi sahaja, yang sesuai dengan saranan keselamatan umum untuk mengurangkan separuh kapasiti operasi tempat awam ketika pandemik.”

Mereka juga berharap dapat melihat kerajaan memperkenalkan Akta Penggal Tetap Parlimen, dengan matlamat tarikh pilihan raya yang tetap dapat ditetapkan, bertujuan memastikan pengundi dan parti politik tidak terkejut serta mempunyai jangkaan sah tentang bila pilihan raya akan diadakan.

Langkah lain yang dicadangkan dalam laporan itu termasuk memperluaskan pengundian pos untuk pengundi yang berada di Singapura, Brunei, Indonesia (Kalimantan), dan Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, dan Satun).

Katanya, SPR harus menghapuskan syarat semasa bagi pengundi luar, iaitu mereka perlu berada sekurang-kurangnya 30 hari di Malaysia dalam tempoh lima tahun terakhir, untuk layak mengundi.

Kumpulan itu mahu pelaksanaan segera sistem pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, yang sudah lama tertangguh, agar 5.6 juta rakyat yang layak memasuki proses pemilihan secara automatik.

Tiada ulasan: