Perniagaan membaiki kasut
kecil-kecilan terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP
manakala mereka yang terlibat dalam rangkaian pembekalan makanan
bergelut untuk kekal berdaya saing di pasaran.
Setiap pagi, Indra Bujang membuka kedainya di bawah jejambat Satok di ibu negeri Sarawak, Kuching dan bersiap untuk mula bekerja.
Ketika kenderaan lalu-lalang di atas kedainya, Indra bersama lima lagi tukang kasut mengeluarkan peralatan mereka dan bersedia untuk membaiki kasut pelanggan.
Sambil duduk atas kerusi atau bangku di depan kedai kecil itu, mereka mula bekerja, kasut-kasut yang sudah selesai dibaiki disusun rapi sebelum diserahkan kepada pemiliknya.
Inilah rutin harian mereka selama hampir 20 tahun.
Selain membaiki kasut, mereka juga menawarkan khidmat menggilap kasut kulit pelanggan terdiri daripada pekerja pejabat yang sering singgah ketika waktu rehat makan tengah hari.
Pada hari biasa, mereka akan bekerja sepanjang hari, malah ada kalanya sehingga malam.
Bagaimanapun, disebabkan penularan Covid-19, jumlah pelanggan turun mendadak.
“Kebiasaannya pada hujung minggu, saya akan berada di sini sehingga jam 9 malam kerana ada pasar malam trak makanan,” kata Indra kepada MalaysiaNow.
“Namun kini, saya hanya tunggu sampai 4 petang.”
Apabila negara mula dilanda Covid-19 pada awal tahun lalu, perniagaan Indra adalah antara yang terpaksa ditutup disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Apabila sekatan pergerakan dilonggarkan, perniagaannya dibenarkan beroperasi namun kehadiran pelanggan tidak semeriah sebelum ini.
Sejak itu, Indra serta tukang kasut lain terus bergelut untuk meraih pendapatan.
Indra berkata, sepanjang bekerja di kedainya yang terletak di bawah jejambat itu, jarang sekali dia melihat kawasan itu tanpa kehadiran orang ramai.
Walaupun dengan sekatan Covid-19 mulai dilonggarkan secara beransur-ansur, kawasan itu masih terus sepi daripada kunjungan pelanggan.
Pekerja pejabat yang sering singgah untuk menggilapkan kasut mereka kini bekerja dari rumah apabila PKP dilaksanakan sejak Mac tahun lalu, tidak ramai yang datang untuk membaiki kasut.
“Kadang-kadang ada yang akan datang dan bertanya seoalan, kemudian terus beredar,” kata Indra.
“Kami terjejas teruk akibat pandemik ini.”
Indra berkata, ramai hanya duduk di rumah, dan kebanyakan daripada mereka takut untuk keluar dari rumah masing-masing.
“Pada hujung minggu, saya selalu menerima 20 hingga 30 pelanggan,” katanya.
“Sabtu lalu, saya hanya menerima empat pelanggan untuk sepanjang hari.”
Keadaan serupa turut dirasai rakannya, Pubalan Selladuri, yang bekerja sebagai penghantar hasil tanaman import kepada peniaga makanan di Lundu dan Sematan.
Pelaksanaan kuarantin dengan pemantauan ketat di Sarawak menjejaskan kualiti barangan, sekali gus memberi impak terhadap harga pasaran.
“Pandemik ini menjejaskan aktiviti pengedaran makanan import dan produk mudah rosak seperti buah-buahan dan sayur-sayuran,” kata Pubalan.
Katanya, barangan import dari China seperti bawang kebiasaannya dihantar dalam jumlah yang besar.
Peraturan ketat ujian saringan kesihatan yang dilaksanakan menyebabkan kru terpaksa melalui proses kuarantin selama dua minggu sebaik tiba.
“Mereka tidak dibenarkan untuk memunggah kargo sehingga tempoh kuarantin tamat,” tambahnya.
“Justeru, pelabuhan akan menghadapi isu kesesakan, terutama membabitkan kerja pengurusan kargo. Ini menyebabkan penangguhan kerja memunggah produk makanan mengakibatkan ia menjadi kurang segar.”
Masalah juga timbul membabitkan ruang simpanan dalam peti sejuk disebabkan kekurangan pekerja dan gangguan dalam pemunggahan kargo yang mana turut menjejaskan kualiti produk segar bagi pasaran.
“Penangguhan yang berlanjutan ini mengakibatkan kerosakan produk dan meningkatkan pembaziran makanan,” kata Pubalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan