Isnin, 9 Ogos 2021

Bagaimana nak percaya Presiden yang berkali-kali menipu? soal KJ


Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sangsi untuk memberi kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas berkali-kali menipu dan kini bertindak pula menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Khairy Jamaluddin berkata timbul keraguan untuk mempercayai tindakan Zahid, malah beberapa keputusan yang dibuatnya seakan tidak ada hala tuju dan lebih teruk lagi sanggup menipu Yang di-Pertuan Agong menerusi sepucuk surat sebelum ini yang mendakwa semua Ahli Parlimen (MP) UMNO memberi sokongan untuk melantik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO. Oktober lalu, beliau (Zahid) utuskan satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas nama Presiden UMNO yang menyatakan semua Ahli Parlimen beri sokongan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Sedangkan saya tidak pernah dirujuk, ditanya oleh Presiden dan jauh sekali saya beri kebenaran pada beliau guna nama saya. Ini yang pertama babitkan masalah kepercayaan,” katanya merujuk kepada surat yang dihantar Zahid dan Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu yang dibocorkan.

Bukan setakat itu, Zahid juga didakwa menipu sekali lagi berhubung klip audio tular dengan Anwar apabila pada mulanya mendakwa ia rakaman palsu tetapi akhirnya terbukti ia tulen.

“Keduanya, apabila apabila timbul rakaman perbualan Presiden dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun perkara itu dinafikannya dan maklum nak buat laporan polis. Bagaimanapun, selepas itu beliau mengaku pula rakaman itu adalah tulen,” katanya lagi.

Ujarnya, kini Zahid sekali lagi cuba menipu Ahli Parlimen UMNO apabila mendakwa keputusan yang diumumkan baru-baru ini untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dibuat secara sebulat suara dalam Majlis Tertinggi (MT) walhal MP UMNO pula berbeza pandangan dengan ketetapan yang diputuskan.

“Bagaimana saya nak percaya Presiden macam ini apatah lagi mengenai keputusan baru ini yang didakwa dicapai secara sebulat suara dalam Majlis Tertinggi, sedangkan ada Ahli Parlimen yang terdiri daripada Ahli Majli Tertinggi yang membuat keputusan berbeza dengan MT,” katanya lagi.

Zahid kini berdepan krisis kepercayaan selepas 31 MP UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan untuk terus menyokong kerajaan PN, ia pendirian berbeza dengan yang diputuskan oleh MT UMNO pada Selasa lepas.

Tiada ulasan: