Isnin, 5 Julai 2021

SUHAKAM gesa tubuh RCI selepas Malaysia jatuh ke Tahap 3 laporan perdagang manusia

SUHAKAM berkata, agensi kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk menangani 
isu buruh paksa, khasnya dalam sektor perladangan dan perkilangan produk getah.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 Amerika Syarikat yang menyaksikan Malaysia diturunkan ke Tahap Tiga.

Penurunan ke tahap terendah dalam laporan itu disebabkan kerajaan Malaysia didakwa gagal memenuhi sepenuhnya standard minimum membanteras pemerdagangan manusia dan tidak melakukan usaha signifikan.

Walaupun mengakui kerajaan sudah mengambil beberapa inisiatif menangani masalah itu, SUHAKAM berkata, Putrajaya perlu menubuhkan RCI itu dan mempercepatkan pelaksanaan cadangannya.

Katanya, kerajaan juga perlu meningkatkan dan menerajui usaha memerangi pemerdagangan manusia serta penyeludupan pendatang asing.

Ia turut menggesa kerajaan mengumumkan laporan dan cadangan Jawatankuasa Bebas Khas Pengurusan Pekerja Asing.

Untuk langkah jangka panjang ia berkata, kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk NGO bagi menjayakan usaha itu.

SUHAKAM turut menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan undang-undang untuk menyiasat dan mendakwa kes pemerdagangan manusia, termasuk meningkatkan koordinasi antara agensi bagi memastikan usaha pendakwaan berjaya.

“Agensi kerajaan berkaitan perlu meningkatkan tahap keseriusan mereka menangani isu pekerjaan, terutamanya mereka yang didakwa terlibat dalam sektor perladangan dan perkilangan produk getah.

“Pegawai yang terlibat dalam rasuah ekonomi sebegini perlu dipertanggungjawabkan kerana mereka adalah saluran yang membenarkan amalan rasuah dalam sistem ini semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Pada 1 Julai lalu, Jabatan Negara AS menurunkan kedudukan Malaysia ke Tahap Tiga, paling rendah dalam TIP 2021.

Tahap Satu merujuk pematuhan sepenuhnya, Tahap Dua pula bagi usaha signifikan dilakukan untuk mematuhi standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Manusia 2000 (TVPA), manakala Tahap Tiga adalah negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

Malaysia yang kembali ke Tahap Tiga buat pertama kali sejak 2014 bersama negara lain dalam senarai itu boleh dikenakan sekatan oleh AS bagi pembiayaan bantuan asing, tertakluk kepada keputusan presiden.

SUHAKAM berkata, ia menyokong cadangan kerajaan untuk meminda Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dengan mengenakan hukuman berat bagi membendung aktiviti dan sindiket pemerdagangan manusia di negara ini, selain memasukkan definisi buruh paksa dalam pindaan akta itu.

Katanya, kerajaan juga perlu meminda undang-undang buruh bagi memastikan hak pekerja dilindungi secukupnya.

Ia turut meminta kerajaan mengeluarkan laporan siasatan RCI mengenai kem petempatan pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian.

Tiada ulasan: