Rabu, 23 Jun 2021

Vaksin CanSino diterima hujung Julai

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD


KUALA TERENGGANU:
Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan pembelian dua jenis vaksin keluaran CanSino dan Johnson & Johnson (J&J), yang hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja.

Timbalan Menteri MOSTI, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, pembelian vaksin CanSino dijangka akan diterima pada penghujung bulan Julai ini.

Ini kerana, kata beliau, keutamaan vaksin satu dos itu khusus bagi kawasan pedalaman yang terpencil seperti pulau-pulau serta kawasan yang sukar menguruskan logistiknya.

“Kita jangkakan menerima vaksin CanSino pada hujung Julai ini. Jadi, vaksin CanSino ini kita utamakan di kawasan pendalaman yang terpencil atau pulau-pulau yang susah untuk sampai dan sulit untuk logistik sampai ke bahagian itu.

“Oleh kerana itu, tempat-tempat seumpama ini vaksin jenis CanSino sangat bagus untuk dilaksanakan,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, pihak MOSTI telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J).

“Kelulusan yang dikeluarkan oleh NPRA untuk vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) dan kedua-dua vaksin ini jenis satu dos sahaja.

“Ini berbeza dengan vaksin lain yang biasa kita gunakan sekarang seperti Pfizer BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca yang memerlukan dua dos suntikan. CanSina sekali suntikan sudah cukup.

“Cuma vaksin Johnson & Johnson (J&J) setakat ini kita belum lagi menerima maklum balas bila paling cepat mereka boleh hantar bekalan kepada kita (Malaysia),” katanya.

Menurutnya, Malaysia memperolehi vaksin Johnson & Johnson itu melalui fasiliti covid sama seperti pembelian AstraZaneca.

Amzad mengagihkan roti paung Terengganu kepada wakil 
DUN Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, katanya program vaksinasi yang dilaksanakan oleh kerajaan juga tidak mengabaikan golongan warga emas.

“Pusat-pusat penjagaan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan juga kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka dalam melaksanakan Program Outreach Vaksinasi, cara menghantar pasukan-pasukan petugas ke tempat mereka dan membuat suntikan vaksin.

“Kita akan memastikan golongan ini mendapat hak mereka untuk divaksinasikan. Imam, jawatankuasa masjid juga sedang dipertimbangkan untuk diberikan keutamaan termasuk tukang mandi jenazah,” tegasnya.

Menurutnya, orang yang memandikan jenazah juga terlibat secara langsung dengan pengurusan mayat.

“Biasanya, keluarga si mati akan turut serta bersama dalam bilik mandian jenazah yang agak sempit. Ahli keluarga si mati (waris) pula biasanya akan pulang dari segenap pelosok.

“Kadang-kala susah untuk dikenal pasti dari segi risiko jangkitan Covid-19, yang dibawa dari kawasan masing-masing,” jelasnya.

Justeru, katanya, pemandi jenazah juga akan terdedah kepada kemungkinan dijangkiti Covid-19 jika tidak disuntik.

Tambah beliau, mereka juga wajar diberikan keutamaan bagi menerima suntikan vaksin melalui pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: