Isnin, 7 Jun 2021

Polis Terengganu tolak 216 permohonan rentas negeri

 Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

Rohaimi (kanan) memeriksa dokumen rentas perjalanan seorang pengguna motosikal di SJR Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu di sini, hari ini.

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu telah menerima 5,756 permohonan merentas negeri atas pelbagai alasan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, awal bulan ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sebanyak 216 permohonan telah ditolak disebabkan tiada dokumen sokongan, menyalah guna surat bekerja dan gagal mengemukakan alasan munasabah.

Beliau berkata, pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati kadar pematuhan dalam kalangan rakyat negeri ini pada tahap 96 peratus.

“Berdasarkan pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri terutama di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), bilangan kenderaan yang memasuki Terengganu sejak PKP Penuh berkurangan sebanyak 75 peratus.

“Kebanyakan permohonan yang diluluskan ialah pekerja sektor perkhidmatan perlu dan memiliki surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya selepas meninjau SJR Jambatan Sultan Mahmud di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rohaimi memberitahu skuad pematuhan PDRM Terengganu kini menggunakan teknologi dron bagi memantau pergerakan orang ramai di lokasi tumpuan di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 157 pasukan pematuhan termasuk agensi berkaitan telah ditugaskan memantau lokasi tumpuan tersebut seperti Pasar Besar Kedai Payang dan KTCC Mall di sini.

“Dron berkenaan dilengkapi sistem pembesar suara dan pengesan suhu yang boleh membantu pihak berkuasa meninjau tempat awam dengan lebih berkesan,” tambah beliau. – K! ONLINE

Tiada ulasan: