Rabu, 2 Jun 2021

Malaysia perlu siap siaga! Kehadiran 16 pesawat China ‘luar biasa’

 Oleh Athirah Huda Zalhe

Tiba masa tumpu aspek penguasaan risikan berasas teknologi terkini

BANGI – Malaysia perlu meningkatkan kadar kesiapsiagaan dan kewaspadaan dalam aspek keselamatan, khususnya di Laut China Selatan.

Ini kerana, jumlah 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang dikesan menghampiri ruang udara nasional kelmarin, sebagai suatu yang ‘luar biasa’ berbanding kes sama sebelum ini.

Meskipun pun ada maklumat sah mengenai motif sebenar penerbangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, peningkatan aktiviti ketenteraan dari China sememangnya berlaku secara konsisten sehingga kini, sama ada di udara atau perairan.

“Sebenarnya, lintasan dan pencerobohan ruang udara negara tanpa pemakluman ini turut dilakukan oleh pesawat carrier tentera Amerika Syarikat (AS) juga, tetapi tidak mendapat liputan media dan tak dilaporkan.

“Namun, dari sudut kekerapan, China memang lebih banyak menceroboh ruang udara tanpa kebenaran,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pertahanan negara memberi tumpuan dalam aspek penguasaan risikan dan maklumat berasaskan teknologi terkini.

“Ini akan membolehkan kita membina pertahanan dan menjamin keselamatan wilayah kedaulatan kita meskipun kita memiliki aset ketenteraan yang tidak sebesar yang dimiliki oleh kuasa seperti China dan AS,” katanya.

Sebelum ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat PLAAF memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional pada jam 11.53 pagi Isnin.

Pesawat-pesawat terbabit telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

Semalam, Kedutaan Besar China di Malaysia mendakwa tindakan 16 pesawat tentera republik itu sebagai latihan penerbangan biasa, dan PLAAF tidak langsung menyasarkan mana-mana negara.

Tiada ulasan: