Jumaat, 4 Jun 2021

Kematian, kes ICU babit kanak-kanak bawah 5 tahun membimbangkan

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Peningkatan kematian dan kes kritikal akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun amat membimbangkan yang memerlukan peranan proaktif ibu bapa dan penjaga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya merekodkan sebanyak tiga kematian melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun pada tahun ini berbanding tahun 2020, juga mencatatkan jumlah yang sama.

Katanya, kes tahun lalu adalah sepanjang 12 bulan tetapi kes tahun ini, melibatkan lima bulan pertama dan terdapat baki tujuh bulan lagi.

“Malah, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara, sehingga Mei tahun ini, 27 kes di ICU dan 19 kes daripadanya adalah kanak-kanak bawah lima tahun.

“Perbandingan tahun lalu pula, jumlah keseluruhan kes pediatrik di ICU adalah sebanyak lapan kes dan enam daripadanya berumur bawah lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, peranan penting dalam kalangan ibu bapa dan penjaga perlu dilipat gandakan bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar tidak dijangkiti Covid-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” katanya.

Hari ini, Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 103 orang berusia antara 27 hingga 97 tahun termasuk 73 warga emas dan 15 tiada latar belakang penyakit.

“Malaysia juga merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 8,209 kes berbanding semalam, 7,703 kes sekali gus mengatasi 7,049 kes sembuh manakala Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu 3,125 kes.

“Kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 83,331 kes berbanding semalam, 82,274 kes dan 880 kes ICU serta 446 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala 24 kluster baharu dikesan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: