Khamis, 17 Jun 2021

Dong Zong gelar Pusat Islam UTM ‘jahil’ batal program seni tarian

 ainulillia

Pertubuhan radikal lantang tolak Jawi gesa UTM terima perbezaan pendapat

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bertindak mengkritik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana membatalkan sebuah wacana berkaitan seni tarian merentas perkauman yang melibatkan tokoh seni tarian klasik India, Datuk Ramli Ibrahim.

Wacana bertajuk ‘Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa’ yang sepatutnya berlangsung 5 Jun yang lalu dibatalkan selepas mesyuarat Pengurusan Pusat Islam UTM bermusyawarah dan bersepakat menasihatkan agar pelaksanaan program itu tidak diteruskan atas faktor kesesuaian program.

UTM memberitahu, keputusan Pusat Islam UTM mewakili pendirian universiti, menitikberatkan pengisian program yang tidak menyinggung mana-mana pihak serta seimbang daripada pelbagai aspek termasuk kepelbagaian, kesejahteraan dan kerohanian.

Dong Zong yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pusat Islam UTM itu membidas tindakan tersebut dengan dakwaan bahawa ia bukan sahaja menyekat kebebasan berfikir golongan berpendidikan tinggi, bahkan menghalang usaha interaksi rentas budaya dan tidak menyumbang kepada komunikasi dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum. 

“Ramli adalah seorang penari bereputasi tinggi, terkenal di dalam dan luar negara kerana komitmen dan usahanya mempromosikan pertukaran budaya melalui seni tarian klasik India. 

“Pusat Islam UTM telah mencetuskan ketegangan dengan menggunakan alasan kandungan sensitif dalam usahanya menstigmatisasikan dan mengaitkan program tersebut dengan agama bagi menghalang demonstrasi seni kebudayaan merentas kaum. 

“Selagi pihak universiti masih bersikap angkuh dengan kuasanya, penindasan berlandaskan kejahilan seperti ini, pastinya bukan yang terakhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Dong Zong yang pada hakikatnya lantang menolak sistem pendidikan kebangsaan malah mendakwa, tindakan mengaitkan semua perkara dengan politik, agama, kaum oleh golongan atasan dikhuatiri akan menjerumuskan masyarakat ke arah pemikiran jumud yang menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan tinggi di negara ini.

“Sudahlah kedudukan universiti tempatan dalam senarai universiti terbaik dunia tidak memuaskan, kebebasan akademiknya juga sangat teruk. 

“Semakin banyak salah laku di universiti, skandal dan insiden penindasan akademik juga terdengar dari masa ke semasa menyebabkan setiap anggota masyarakat menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kebebasan akademik dan kualiti pendidikan di universiti tempatan.  

“Untuk kemajuan universiti, amalan birokrasi dan gaya kepimpinan serta pentadiran yang keras mesti dihapuskan,” kata Dong Zong.

Pertubuhan radikal itu yang sebelum ini beria-ia menolak pengenalan pembelajaran tulisan Jawi dalam silibus murid sekolah vernakular kerana takut kepada pengaruh Islamisasi, menggesa pula UTM supaya melindungi kebebasan akademik, menerima perbezaan pendapat, tidak mencampuri urusan pentadbiran kampus dan kebebasan penyampaian kuliah dengan ideologi agamanya. 

“Kebebasan akademik adalah asas pendidikan tinggi, tanpa kebebasan akademik, idea tidak dapat dilahirkan dengan bebas di universiti dan akhirnya menjejaskan hak mahasiswa untuk mendapatkan pendidikan dan hak masyarakat untuk maju, ilmu dan ketamadunan manusia juga tidak dapat berkembang. 

“Universiti perlu kembali kepada kesubjektifan pendidikan, kami berharap organisasi dari setiap lapisan masyarakat tidak akan terus berdiam seperti dulu.

“Mereka patut dengan lantang menghalang pendidikan dikaitkan dengan agama, menyokong kebebasan akademik kerana universiti yang tiada kebebasan berfikir dan kebebasan akademik tidak mungkin dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dan jauh sekali dapat menjadi universiti terbaik dunia,” katanya lagi.

Tiada ulasan: