Khamis, 17 Jun 2021

Dakwa ambil kesempatan terhadap ‘rider’ buat PEMBELA terkilan

 ainulillia

‘Ini bukan kali pertama PEMBELA bantu kutip derma bantu rider bayar jaminan mahkamah’

BANGI – Tidak dapat dinafikan perasaan terkilan menerpa Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berikutan dilempar dakwaan bahawa ia cuba mengambil kesempatan dalam isu para penghantar makanan yang ditahan dalam pergaduhan dengan pelanggan di Sungai Way, Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Tabung kutipan derma kilat yang dilancar PEMBELA untuk membayar jaminan sekiranya lima penghantar makanan dihadapkan ke mahkamah dituduh ada unsur penipuan.

Walhal, kata Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya, ia bukan kali pertama pihaknya membela penghantar makanan di mahkamah dan membuat ‘crowd funding’ untuk membela mereka.

“Pada tahun lalu, PEMBELA telah membantu rider-rider Foodpanda dengan menyediakan khidmat peguam secara percuma (probono) melalui rakan-rakan peguam kita di Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, sama seperti kes kali ini. 

“Kes ketika itu menyaksikan para rider membantu seorang rider wanita yang dipukul oleh seseorang ketika sedang bekerja yang akhirnya mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan merusuh.

“Tuduhan merusuh, sama seperti kes kali ini dan di daerah yang sama, iaitu Petaling Jaya. Ketika itu, kita ada juga gerakkan tabung untuk membantu, tetapi kami tidak mendapat rintangan daripada pihak polis seperti hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, kutipan untuk penghantar makanan ketika itu tidak begitu banyak. 

“Ketika itu, ikat jamin yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwaraya bagi setiap tertuduh adalah sebanyak RM5,000, tetapi selepas rayuan melalui peguam, ianya dikurangkan. 

“Inilah ‘kos’ yang kami maksudkan ketika kami menggerakkan tabung tempoh hari. 

“Kes tersebut masih berjalan sehingga kini, sudah lebih setahun. Memang para rider ini teruk terjejas pendapatan mereka kerana perlu kerap naik turun mahkamah dan kerja mencari rezeki mereka sering tergendala. Ada yang ada anak isteri, perlu sara ibu bapa,” katanya yang khuatir dengan nasib mereka.

Justeru, beliau meluahkan rasa terkilan dengan tuduhan pihak polis terhadap PEMBELA baru-baru ini, yang hanya mahu meringankan beban seandainya kelima-lima penghantar makanan tersebut memerlukan wang jaminan mahkamah.

“…. Alhamdulillah, berkat sokongan rakyat Malaysia kali ini pastinya akan mengubah sikap segelintir rakyat terhadap para rider. Saya yakin, mana-mana individu atau pihak ingin lakukan provokasi terhadap rider, akan fikir berkali-kali.

“Apa yang lebih penting ialah, mereka yang mahu persenda kalimah Allah juga akan fikir berkali-kali. Mungkin inilah hikmah apa yang berlaku,” katanya.

Pada 14 Jun lalu, PEMBELA telah berjumpa Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berhubung dengan kes tersebut.

Aminuddin berkata, beliau telah menerangkan mengenai salah faham yang dihadapi oleh pihak polis mengenai tabung yang digerakkan pihaknya selain berbincang mengenai kes persendaan terhadap kalimah Allah itu.

Bagaimanapun, semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap sebuah NGO yang dipercayai melancarkan tabung kutipan derma untuk membayar jaminan lima penghantar makanan yang ditahan kerana dipercayai bergaduh dengan pelanggan di Sungai Way. 

Katanya, tiada bayaran diperlukan untuk jaminan polis melainkan didakwa di mahkamah.

Tiada ulasan: