Hampir RM3 juta disalur kepada NGO terpilih untuk 'promosi' agenda tertentu
BANGI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menyiasat pendanaan asing kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, mungkin ramai tidak sedar bahawa agensi Amerika Syarikat (AS) iaitu National Endowment for Democracy (NED), baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan ‘dana khas’ kepada beberapa NGO di Malaysia.
Dengan alasan untuk mempromosikan ‘pemikiran demokrasi’ dan ‘kebebasan’, NED mendanai NGO-NGO di seluruh negara ini untuk tujuan itu sejak sekian lama, dakwanya.
“… tetapi kita tahu ianya lebih dari itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa, NGO-NGO yang didanai mereka biasanya adalah ‘pressure-group’ pro-liberal atau berhaluan kiri yang rapat dengan politikus-politikus tertentu.
“Di Malaysia, agensi ini juga selama ini menyalurkan dana yang banyak untuk syarikat media tertentu di Malaysia sehingga mereka menjadi media utama dan berpengaruh dalam lanskap sosial Malaysia.
“Terbaru, sejumlah lebih US$700,000 atau hampir RM3,000,000 telah disalurkan kepada NGO-NGO terpilih untuk ‘mempromosikan’ agenda-agenda tertentu seperti ‘human rights’, polisi negara, kajian dan sebagainya.
“Bagi saya, ini adalah satu bentuk campur tangan luar yang halus lebih-lebih lagi ianya melibatkan jutaan ringgit dan datangnya dari Amerika Syarikat yang kita tahu memang suka campur tangan urusan negara lain terutamanya negara-negara Islam,” dakwanya.
Sehubungan itu, Aminuddin memberi peringatan bahawa antara punca kejatuhan Empayar Uthmaniyyah juga adalah kerana wujudnya organisasi-organisasi luar yang didanai oleh kuasa-kuasa besar dan aktif berkeliaran meracuni rakyat secara halus.
“Hasilnya, sistem Khalifah Uthmaniyyah digulingkan oleh rakyatnya sendiri dan diserahkan kepada kekuasaan Barat.
“KDN diminta siasat dan pantau rapat aktiviti-aktiviti NGO-NGO ini. Jangan hanya sibuk pantau NGO-NGO Islam sahaja ya!,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan