Ahad, 2 Mei 2021

PKPD di sekolah tahfiz Kelantan tamat lebih awal

twitter sharing button
whatsapp sharing button
email sharing button

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, di Tumpat, Kelantan ditamatkan hari ini, lebih awal daripada dijadualkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD lebih awal di sekolah tersebut, berbanding tarikh asal 13 Mei, dibuat selepas penularan kes di kawasan terbabit terkawal.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 329 ujian saringan, 181 daripadanya disahkan positif.

“Terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail turut memaklumkan, PKP di Mukim Endau dan Triang, Mersing, Johor akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

“KKM telah merekodkan tiga kes positif hasil daripada 202 keseluruhan ujian saringan di kedua-dua lokaliti tersebut,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan polis semalam menahan 500 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), dan daripada jumlah itu, 489 dikompaun manakala selebihnya direman.

Kesalahan paling banyak dicatatkan adalah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (215), diikuti aktiviti pusat hiburan (77), tiada penjarakan fizikal (55), tidak memakai pelitup muka (53), dan lain-lain (100).

Sementara itu, pihak berkuasa menerusi Ops Benteng menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima buah kenderaan darat di sempadan negara.

Ismail juga memaklumkan 1,095 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatif, sejak Julai tahun lalu, seramai 192,479 individu telah pulang ke tanah air, menurut beliau.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,937 individu telah dikuarantin dan 182,775 orang dibenarkan pulang, manakala 1,767 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Tiada ulasan: