KUALA LUMPUR – Serangan rejim zionis ke atas umat Islam di Palestin bukan kejadian yang baharu berlaku, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bahkan, ujar beliau, isu serangan itu sudah berlarutan sejak lebih 70 tahun lalu, malah sebelum itu lagi.
“Saya memantau perkembangan mereka, membaca, melihat dan mengkaji sejarah di Palestin yang menempatkan masjid ketiga tersuci umat Islam itu. Kronologi kisahnya menurut ulama bukanlah pendek, tetapi penuh ranjau dan duka.
“Setiap tahun rejim zionis akan membedil dan membunuh umat Islam di sana. Apabila dilaporkan mengenai mereka, saya juga seperti anda semua, bersimpati, sedih dan mendoakan supaya Allah SWT menyelamatkan mereka.
“Kita sentiasa membantu dengan memberikan sokongan kepada saudara seagama. Kita salurkan makanan, perubatan dan wang ringgit, tetapi pada tahun hadapan kemungkinan akan berlaku lagi serangan,” katanya menerusi Facebooknya, semalam.
Ahmad Zahid berkata, rejim zionis tidak pernah berpuas hati apa yang mereka lakukan kepada umat Islam Palestin.
Namun, itulah rejim zionis, penindasan akan terus berlaku sehingga turunnya Al-Mahdi.
Beliau juga tidak yakin situasi itu akan tamat, melainkan apa kata ulama, masyarakat Islam di dunia bersatu.
“Untuk menamatkan situasi ini sangatlah sukar, melainkan apa kata ulama masyarakat Islam di dunia bersatu. Masanya itu akan tiba. Percayalah penyatuan umat Islam sentiasa dilambatkan pihak musuh.
“Zionis dan sekutu akan terus memberikan tekanan ditambah pula campur tangan asing.
“Kita juga perlu mempelajari masalah politik dalaman di Palestin iaitu antara faktor yang berlaku ketika ini. Bagaimana ketegangan berlaku sesama sendiri. Fattah dan Hamas yang saya maksudkan,” ujarnya.
Presiden UMNO itu berkata, keadaan berkenaan meruncing selepas kematian pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat pada November 2004.
Bahkan, kata beliau, sejarah mencatatkan pengkhianatan dan wujudnya tali barut pada fasa akhir kerajaan Islam Turki Uthmaniah penyebab keadaan sekarang, iaitu sebahagian besar wilayah Palestin terlepas tangan dan umat Islam perlu mengambil pengajaran mengenai itu.
“Kita sendiri tidak terlepas tangan dengan pembelotan yang berlaku dalam kerajaan Melayu Melaka. Yakinlah musuh tidak sekuat mana, tetapi kita sendiri yang lemah. Kita membuka peluang untuk mereka menceroboh. Saya seru dan berharap jangan bersikap sedemikian rupa.
Yakinlah dengan janji Allah. Kita sudah memasuki fasa dunia akhir zaman. Jika kita mengabaikan penyatuan sesama sendiri, tidak mustahil suatu hari nanti kita juga kembali ditindas dan dianiaya. Kembalilah bersatu saudara seagama dan sebangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan