Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Sejarah merekodkan anggota PBB boleh 'dibeli', dimanipulasi Zionis
BANGI – Kewujudan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar dimanfaatkan oleh pemimpin Islam bagi menyatakan suara umat serta pendirian tegas – berasaskan fakta dan kebenaran – dalam perkara melibatkan rejim Zionis Israel.
Selain itu, PBB juga boleh dijadikan platform dalam mempengaruhi keputusan negara-negara lain berdasarkan sumber fakta.
Bagaimanapun pemimpin negara Islam diingatkan untuk tidak mengharapkan PBB sepenuhnya sebagai platform yang adil dan neutral untuk menyelesaikan masalah umat.
Ini kerana berdasarkan rekod sejarah, PBB tidak pernah walau sekalipun memutuskan sebarang resolusi konkrit yang bercanggah dengan kehendak rejim Zionis Israel, kata Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim.
Katanya, sejarah juga mencatatkan bagaimana dalam proses resolusi pada tahun 1947, undi-undi negara anggota PBB boleh ‘dibeli’ dan dimanipulasi oleh rejim Zionis melalui pelbagai cara seperti sogokan kepada individu dan ‘bantuan kewangan’ kepada negara.
Ia juga termasuk ancaman atau tekanan ekonomi serta campur tangan langsung ke atas pemimpin-pemimpin negara.
“Sehingga ke hari ini, rekod-rekod berkaitan isu Palestin di platform PBB menunjukkan bahawa pengaruh dan ruang manipulasi Zionis ke atas PBB masih seperti dahulu.
“PBB membenarkan sesetengah pemimpin negara Islam untuk meluahkan perasaan (venting pressure) tetapi platform ini tidak akan membenarkan sebarang usaha konkrit berlaku untuk mengembalikan status asal Palestin.
“… meskipun PBB sendiri mengiktiraf hak kendiri dan hak mempertahankan diri bagi mana-mana bangsa yang berdaulat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Mengulas lanjut mengenai keadaan yang berlaku di Palestin, beliau berkata, Zionis menjadikan PBB sebagai platform untuk memberikan ilusi kononnya wujud harapan dan perbincangan serius di peringkat antarabangsa untuk membela Palestin.
“Tetapi segala perbincangan itu tidak akan dimanifestasi ke dalam bentuk tindakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan