Selasa, 4 Mei 2021

Mengapa segelintir warga Malaysia jauhi vaksin AstraZeneca?

Farhira Farudin

Mereka bukan sekadar bimbang tentang risiko darah beku yang dilaporkan berhubung vaksin tersebut.

Ketika lebih 260,000 orang mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin AstraZeneca pada Ahad lalu di bawah program pilihan sukarela bagi suntikan tersebut, ramai yang masih tidak selesa dan ragu – namun tidak semua ragu-ragu dengan risiko darah beku berpunca daripada vaksin tersebut sehingga menyebabkan syarikat farmaseutikal besar itu terpaksa melawan publisiti buruk di seluruh dunia.

Sebahagian yang bercakap kepada MalaysiaNow mengenai alasan untuk tidak mengambil vaksin itu mempunyai alasan berbeza, sekurang-kurangnya pada ketika ini.

Bagi Azwan, 43, keputusan beliau tidak ada kena mengena dengan risiko kesihatan.

Apa yang menjadi kerisauan beliau adalah program tersebut mengikut prosedur “siapa cepat, dia dapat” dalam memperuntukkan temu janji.

“Saya tolak kerana terdapat had lot bagi vaksin AstraZeneca, ia dipisahkan daripada program vaksinasi kebangsaan,” katanya

“Ia turut menambahkan kesukaran kepada perkara yang sudah sedia sukar.”

Menurutnya, jika perlu ada program pilihan suntikan sukarela AstraZeneca, sistem yang sedia ada sudah cukup bagus.

Dia turut mengkritik tindakan memperuntukkan vaksin tersebut hanya kepada yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur, menyatakan pendekatan kebangsaan berbanding kenegerian “lebih sesuai dengan saya”.

Vaksin AstraZeneca ketika ini menjadi vaksin utama dalam skim Covax, sebuah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan beberapa negara penderma untuk memastikan negara-negara miskin boleh mengakses vaksin Covid-19.

Ia juga digelar sebagai “game-changer” pada Januari lalu ketika diumumkan sebagai vaksin pertama yang mampu milik selain tidak memerlukan tempat penyimpanan suhu dingin seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Bagaimanapun, AstraZeneca menghadapi publisiti buruk berikutan kes darah beku yang dilaporkan di beberapa negara termasuk UK dan Eropah yang menyaksikan beberapa pesakit yang disuntik vaksin tersebut telah meninggal dunia.

Agensi kesihatan dan pengawalseliaan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) telah berulang kali mengatakan bahawa faedah vaksin AstraZeneca melebihi risiko, termasuk dijangkiti Covid-19.

EMA juga berkata bahawa pembekuan darah disebabkan suntikan tersebut harus disenaraikan sebagai kesan sampingan yang “sangat jarang” berlaku, mendorong banyak negara menggunakannya.

Namun keraguan sebahagian rakyat Malaysia terhadap vaksin itu jelas wujud ketika Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa 8,000 orang yang pada awalnya mendaftar untuk vaksinasi tersebut melalui aplikasi MySejahtera telah keluar daripada program tersebut setelah pengumuman kerajaan bahawa AstraZeneca turut dimasukkan dalam portfolio suntikan vaksinnya.

Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, berkata bahawa 80% orang telah mendaftar semula untuk janji vaksinasi mereka selepas suntikan AstraZeneca dijadikan sebagai vaksin pilihan sukarela.

Farahin Rahim, 28, sebelum ini mahu mendaftar untuk mengikuti program sukarela tersebut namun mengubah fikirannya kerana bimbang tentang kemungkinan kesan sampingan yang berkaitan dengan vaksin AstraZeneca.

Namun, dia kemudiannya melakukan kajian sendiri, hasil kajian sendiri itu ternyata meredakan kebimbangannya.

Farahin berkata dia akan mendaftar suntikan vaksin itu setelah kumpulan kedua vaksin AstraZeneca tiba.

“Saya ingin mendaftar pada awalnya tetapi saya sedang berusaha untuk hamil, jadi saya putuskan untuk abaikan dan dapatkan pendapat profesional.

“Saya mempunyai keraguan tetapi rakan saya yang merupakan doktor di UK mengesyorkan vaksin AstraZeneca. Sekarang setelah saya mendapatkan pendapat profesional, saya pasti akan mendaftar ketika kumpulan vaksin kedua tiba,” katanya.

Kamal Nizam, 24, berkata dia teruja untuk mendaftar vaksin AstraZeneca sebelum ini.

Namun, setelah dia mendaftarkan diri, ramai warga media sosial yang terlibat dalam memberikan “ketakutan” kepadanya mengenai suntikan tersebut sehingga menyebabkan dia meragui keputusannya sendiri.

Dia pernah membaca catatan Facebook mengenai orang yang menolak vaksin tersebut kerana wujud kemungkinan pembekuan darah walaupun terdapat penjelasan saintifik mengenai perkara tersebut.

Apa yang menjadi kebimbangannya sebelum ini adalah keselamatan dirinya sendiri, namun kini dia yakin manfaat vaksin tersebut melebihi risiko yang ia bawa.

“Saya memang risau tetapi saya lebih takut bahawa kita tidak capai imuniti kelompok,” katanya.

“Saya tidak mahu wabak ini menjadi lebih teruk kerana boleh mempengaruhi keluarga saya.”

Kamal menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan apa yang dihantar ke media sosial mengenai suntikan vaksin.

“Saya tidak kisah jika orang lain hendak menentang vaksin, tetapi saya rasa tidak betul sebarkan ketakutan dan mempengaruhi orang lain agar tidak mendapat suntikan juga,” katanya.

“Ia tidak beretika.”

Tiada ulasan: