KUALA LUMPUR: Sekumpulan penggodam dari Malaysia dan Indonesia melancarkan aktiviti godaman menerusi #OpsBedil ke atas pangkalan data dan akaun media sosial Israel sejak malam tadi sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim zionis menyerang rakyat Palestin di Gaza.
Solidariti bagi mengutuk tindakan rejim itu dizahirkan bagi menuntut Israel menghentikan segala tindakan ketenteraan ke atas rakyat Gaza.
Menggelarkan diri mereka sebagai Dragon Force Malaysia dan Anon Ghost, mereka mendakwa sudah menggodam lebih 120 laman dan pangkalan data Israel sejak malam tadi.
Mereka juga mendakwa, beberapa muat naik dibuat di akaun Facebook dan Twitter mereka juga sudah dipadam oleh pengendali laman sosial itu.
"Hello dunia, hello Kerajaan Israel. Kami mewakili semua rakyat Indonesia. Kami mengingatkan kamu, tindakan kamu terhadap saudara kami di Palestin amatlah keterlaluan. Kamu sudah menyinggung perasaan kami semua, terutamanya dunia Islam.
"Di mana perikemanusiaan kamu? Kami mahu kamu menamatkan serangan dan pembunuhan besar-besaran di Palestin. Sekiranya tidak, kami akan meneruskan langkah menggodam laman web negara kamu secara besar-besaran," kata satu daripada amaran dikeluarkan penggodam Indonesia di laman web Israel yang berjaya digodam.
Satu lagi amaran yang dinyatakan dalam beberapa laman web yang berjaya digodam mereka ialah 'Israel bukan saja melakukan jenayah perang, namun juga melakukan penindasan terhadap kemanusiaan, yang juga antara jenayah paling dahsyat.
"Israel tidak memiliki apa-apa hak pun di Jerusalem Timur. Mereka tidak mempunyai hak di Gaza," katanya.
Sementara itu, sejak kelmarin, puluhan ribu pengguna akaun media sosial Malaysia juga memenuhi ruangan komen akaun media sosial Israel terutama akaun Facebook dan Twitter Tentera Pertahanan Israel (IDF) untuk mengutuk serangan zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Mereka juga menyebarkan risalah dan poster dengan hashtag #shameonIsrael #Israelkoyak di akaun pemimpin dan selebriti Israel bagi menunjukkan tentangan mereka.
Sementara itu, rakyat Malaysia tunggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, dalam statusnya pada laman Telegramnya pagi tadi melaporkan, lapan kematian baharu direkodkan iaitu enam kanak-kanak dan dua wanita ekoran serangan terbaru Israel di Gaza awal pagi tadi.
"Kejap tadi dekat rumah. Alhamdulillah kami 'last minute' tukar jalan dan tak lalu kat situ 'on the way' balik dari penggambaran. Asalnya memang kena lalu situ, tapi polis halang katanya sudah ada amaran untuk kosongkan kawasan.
"Sampai di rumah tiga roket mendesup meranapkan bangunan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan