Isnin, 24 Mei 2021

Lebih 100 kilometer selama 11 hari. Ini kesesakan trafik terburuk dalam sejarah dunia


Anda sering mengeluh terperangkap dalam kesesakan lalu lintas? Selalunya bila kita memandu dan berdepan kesesakan di atas jalan raya pun dah buat hati rasa panas, bukan?

Di Malaysia, paling buruk pun kesesakan lalu lintas selalunya berlaku pada musim perayaan. Sebagai contoh, dari Kuala Lumpur hendak pulang ke pantai timur mengambil masa berbelas jam, bahkan ada yang mencapai hampir 24 jam pemanduan.

Itu belum teruk sangat lagi. Cuba anda bayangkan jika terperangkap kesesakan di atas lebuh raya bukan berbelas jam, tetapi berhari-hari! Ya, inilah senario yang pernah berlaku di China dan dilabel sebagai ‘ kesesakan lalu lintas terburuk dalam sejarah’.

Ia berlaku pada Ogos 2010. Kesesakan lalu lintas di lebuh raya Beijing-Tibet telah mencatatkan senario kesesakan trafik yang paling buruk dalam sejarah dunia.

 

Kesesakan di China pada 2010 ini sepanjang lebih 100 kilometer.

Berpuluh ribu kenderaan telah terperangkap selama 11 hari dalam kesesakan sepanjang lebih 100 kilometer, yang mana ia hanya berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya.

Lazimnya kesesakan lalu lintas selalunya berlaku pada musim-musim perayaan, atau disebabkan oleh kemalangan. Kadang kala, kesesakan juga berlaku jika terdapat sebarang aktiviti demonstrasi yang mengambil tempat di atas jalan raya.

Namun, senario itu berbeza dengan situasi trafik di Beijing, China, ketika itu. Lebuh rayanya sentiasa sibuk dan padat dengan kenderaan. Pada hari-hari biasa sekalipun, tempoh perjalanan di lebuh raya berkenaan adalah dua hingga tiga kali ganda lebih panjang berbanding jalan raya di lokasi lain.

Kesesakan di Beijing bukan perkara baru. Kekerapannya meningkat saban tahun akibat peningkatan jumlah trak yang menggunakan lebuh raya Beijing-Tibet mencecah hampir 20,000 buah pada waktu puncak.

Kemuncaknya bermula pada 13 Ogos 2010 tahun lalu apabila kesesakan menjangkau lebih 130 kilometer, dan hanya reda kira-kira 11 hari kemudian.

Kenderaan yang terperangkap dikatakan bergerak hanya satu kilometer sehari sehingga ada kenderaan yang tersangkut di lebuh raya berkenaan sehingga lima hari. Keadaan itu diburukkan lagi dengan kemalangan jalan raya yang dikatakan berpunca daripada sikap pemandu yang tidak bersabar, tidak berhemah dan membuat laluan tambahan sehingga menyempitkan laluan sedia ada.

Empat lebuh raya iaitu Beijing-Tibet, National Road 110, Xiguan Road dan Beijing-Xinjiang yang bertemu di hujungnya menyebabkan laluan trafik menjadi semakin sesak. Ia menjadi bertambah teruk apabila penduduk Beijing terpaksa memilih laluan berkenaan kerana laluan alternatif lain mengenakan tol yang terlalu tinggi.

Seramai 400 pegawai polis berada di kawasan terbabit 24 jam sehari untuk memastikan keadaan terkawal. Pihak berkuasa cuba melicinkan aliran trafik dengan membenarkan lebih banyak trak memasuki Beijing pada waktu malam, selain meminta syarikat kenderaan berat meminda perjalanan atau mengikut laluan lain. Berdasarkan statistik, dianggarkan lebih 10,000 buah trak, sebahagian besarnya ialah lori pengangkut arang batu dari wilayah Inner Mongolia langsung tidak dapat bergerak.

Stesen penyiaran China Central Television pula melaporkan, sebilangan pemandu terkandas selama lima hari di lebuh raya Beijing-Zhangjiakou dan Mingchai. Keadaan itu menyebabkan pemandu yang terperangkap membuang masa dengan tidur, bermain terup dan catur, serta menghabiskan waktu dengan bersiar-siar di sekitar kawasan kampung berdekatan.

Sementara itu, kesesakan trafik tersebut telah membuka peluang perniagaan kepada penduduk di sepanjang laluan berkenaan. Orang-orang kampung di kawasan sekitarnya mengambil kesempatan dengan menjalankan perniagaan termasuk menjual mi segera, makanan ringan dan makanan tengah hari. Namun, ramai pemandu merungut kerana harga makanan yang dijual agak mahal.

Penduduk sekitar mengambil kesempatan menjual makanan 
kepada pemandu yang terkandas dalam kesesakan itu.

Dianggarkan, seorang pemandu perlu membelanjakan kira-kira 50 yuan untuk menampung kos makanan seharian. Jumlah itu hampir 50 peratus lebih mahal jika dibandingkan dengan harga makanan di restoran biasa. Bagaimanapun, mereka tiada pilihan lain dan terpaksa membelinya selagi masih terkandas di laluan berkenaan.

Selama 11 hari mengalami kesesakan, insiden di China ini disifatkan oleh media sebagai kesesakan lalu lintas paling panjang dalam sejarah.

Tiada ulasan: