Selasa, 11 Mei 2021

Geng Nicky: Dua pegawai SPRM fail habeas corpus

Oleh SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor yang dikatakan bersekongkol dengan Geng Nicky memfailkan permohonan habeas corpus dengan dakwaan penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) pada penghujung April lalu adalah salah.

Dua individu terbabit memegang jawatan Penguasa dan Penolong Penguasa yang masing-masing berusia 41 dan 42 tahun selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut pada 5 Mei lalu dengan menamakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dua pegawai polis yang dikenali dengan nama Asisten Superintendan Prakash dan Deputi Superintendan Azlan Ahmad, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Mei ini untuk pendengaran permohonan tersebut. Kes akan didengar oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.

Mengikut afidavit yang difailkan oleh isteri masing-masing, suami mereka, masing-masing ditahan pada 21 dan 27 April lalu oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Johor bersabit dengan Op Pelican 3.0 ketika berada di Ibu pejabat SPRM.

Bagaimanapun, pemohon mendakwa pihak responden tidak memperincikan kesalahan bagi membolehkan kedua-dua pegawai tersebut ditahan mengikut SOSMA 2012.

Sehubungan itu, pemohon mendakwa penahanan mereka mengikut akta tersebut adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, mereka memohon dibebaskan serta-merta daripada perintah writ habeas corpus yang dikenakan terhadapnya selain pemohon tidak ditangkap atau ditahan semula.

Pada 27 April lalu, Ayob Khan dipetik berkata, pihak polis telah menjalankan Op Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Johor di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pada operasi tersebut seramai 12 pegawai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM telah ditahan.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Sejak minggu lalu pula, dua pegawai polis yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah itu telah dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: