PETALING JAYA: Jika warga kota sedih dan kecewa tidak dapat pulang berhari raya kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Lembah Klang, penduduk di luar Lembah Klang pula menganggap ia satu kelegaan bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan.
Rata-rata mereka beranggapan, keutamaan ketika ini adalah untuk melandaikan jangkitan, walaupun terpaksa bertarung dengan emosi dan kerinduan terhadap sanak saudara selepas sambutan Aidilfitri tahun lalu disambut ala kadar dengan norma baharu.
Bagi pesara guru dari Kuala Berang, Terengganu, Endun Mohamad, 60, apa yang berlaku itu tidak dapat dielak dan kerajaan terpaksa melaksanakan PKP bagi menjamin keselamatan rakyat bagi meredakan penularan jangkitan Covid-19.
“Memandangkan bila tiba hari perayaan semua orang akan balik (kampung), jadi penularan boleh berlaku. Dua anak saya bekerja di Lembah Klang, mereka sedih tak dapat balik beraya kerana sekatan rentas negeri. Saya pun sedih, tapi saya reda demi keselamatan semua,”
Mengakui persiapan sambutan Aidilfitri sedikit terjejas dan hambar disebabkan PKP, Endun bersyukur kerana ada kemudahan teknologi berupaya mendekatkan yang jauh melalui panggilan video, yang sedikit sebanyak dapat mengubat kerindunya pada anak-anak.
Bekas wartawan di Pulau Pinang, yang kini menetap di Seremban Siti Azila Alias, 36, turut bersetuju dengan langkah kerajaan melaksanakan PKP dan menyekat rentas negeri ketika Aidilfitri dalam mengekang penularan virus.
“Saya OK saja, Aidilfitri tahun lepas tak dapat balik, kami buat panggilan video. Tahun ini kami akan lakukan perkara sama.
“Harapnya tahun depan bolehlah saya dan suami beraya di Pulau Pinang pula. Lagi pun kedua ibu bapa sudah lanjut usia dan golongan berisiko tinggi,” katanya yang sudah menetap di Seremban sejak pelaksanaan PKP Mac tahun lalu.
Peniaga dari Bidor Perak yang hanya mahu dipanggil Noradiah, 41, turut mengakui pelaksanaan PKP sebenarnya bertujuan menyelamatkan nyawa dan bukannya menyusahkan.
“Lebih baik ada PKP, memanglah rindu pada keluarga yang ramai tinggal di Selangor, tapi lebih baik jangan balik dulu, sebab virus semakin merebak di kawasan kampung.
“Sebagai peniaga, memanglah pendapatan terjejas disebabkan PKP, tetapi jika PKP dikenakan di seluruh negara lagi teruk pendapatan kami terjejas. Buat masa ini kita bekerjasamalah elak jangkitan lebih teruk,” katanya turut bersetuju dengan pendekatan kerajaan melaksanakan PKP hanya mengikut lokaliti yang terjejas bagi mengekang penularan.
Warga emas, Natchiah, 69, juga dari Bidor turut menyokong pelaksanaan PKP dan sekatan rentas negeri bagi menjamin keselamatan semua.
“Memanglah kesian dan sedih sebab dah dua tahun ramai tak dapat balik, tapi ini untuk keselamatan semua. Di Selangor saya tengok berita banyak tempat sudah ada kluster, kes semua naik, saya pun sudah tua, saya pun takut terkena jangkitan,” katanya.
Namun peniaga makanan di Maran, Pahang, Hafizal Azmi, 31, berbeza pandangan dan melihat pelaksanaan PKP dan larangan rentas negeri yang dilaksanakan kerajaan masih kurang meyakinkan.
“Sepatutnya kerajaan buka sahaja sekatan rentas negeri dan sekat individu yang dijangkiti Covid-19 sahaja daripada merentas negeri. Kalau orang itu tidak ada Covid-19, buat apa nak sekat. Bila nak sambut raya saja mesti tak boleh (rentas negeri).
“Kalau nak harapkan Covid-19 habis, memang ia tidak akan habis,” keluhnya.
Seorang lagi peniaga, Haniff Ramli, 25 pula mencadangkan supaya kerajaan mengadakan PKP untuk keseluruhan negeri bagi tangani jangkitan, kerana jika rentas daerah masih dibenarkan, risikonya tetap sama.
“Macam di Pahang, kes di Kuantan tinggi. Jika mereka (orang luar) datang sini, ia juga mengundang risiko,” katanya sambil menambah yang paling penting dalam menangani isu itu adalah mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.
Kakitangan awam dari Johor Bahru, Faris Jasma berkata, tidak ada masalah untuk PKP dilaksanakan semula jika Covid-19 benar-benar tidak terkawal, namun perlulah dilakukan dengan ketat dan berkesan melalui penutupan semua sektor yang menjadi pencetus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan