Sabtu, 1 Mei 2021

Bayi perlu RM10,000 tampung bedah jantung, bapa pula dibuang kerja

Oleh NUR NABILAH RAHMAT
SHAHRIZAN Yusof (dua dari kiri) bersama Azah Fazazillah Md. Jaikhs dan Qish Naura Syifa yang menerima kunjungan Mohd. Fadel Alwi (kanan) serta V. Kasturi Bai di Sri Lalang Kluang, Johor. - UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT

KLUANG: Pasangan suami isteri di Kampung Sri Lalang, di sini mengharapkan bantuan orang ramai bagi mengumpul sejumlah RM10,000 bagi menampung kos pembedahan jantung anak bongsu mereka yang berusia tiga bulan.

Bayi perempuan mereka, Qish Naura Syifa Shahrizan turut disahkan menghidap masalah saluran najis dan kemaluan yang bercantum.

Lebih memeritkan, bapa bayi itu, Shahrizan Yusof, 37, dibuang kerja dalam tempoh 24 jam sebagai jurujual roti gara-gara kerap mengambil cuti bagi menguruskan anaknya itu berulang alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

“Awal kelahiran anak, doktor di HSA mengesahkan terdapat lubang sebesar lima sen di jantungnya dan pemeriksaan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) sebenarnya mendapati terdapat tiga lubang di kawasan itu.

“Jumlah kos pembedahan sahaja RM35,000. Alhamdulillah IJN memberi kelulusan dana sebanyak RM25,000 sebagai subsidi untuk kos operasi pembedahan nanti dan kami perlu mencari RM10,000 lagi yang tidak termasuk kos-kos lain,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, di sini semalam.

Terdahulu, Shahrizan dan isteri, Azah Fazazillah Md. Jaikhs, 32, menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan daripada Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi dan Pengurus Econsave Cawangan Kluang, V. Kasturi Bai.

Shahrizan berkata, kos-kos lain termasuk lampin pakai buang dan tisu basah yang kerap digunakan untuk menguruskan Qish Naura Syifa.

“Disebabkan anak saya ada masalah saluran najis sempit, dia kerap membuang air besar namun dalam kuantiti kecil.

“Memang kena ganti lampin baharu sekiranya dia sudah membuang najis, jika tidak dia tak selesa menyebabkannya menangis dan menjadi sesak nafas. Apa sahaja keadaan yang membuatkan Qish Naura Syifa tak selesa kami kena berjaga-jaga setiap waktu,” katanya.

Katanya, mujur ketika ini mereka mempunyai wang simpanan daripada skim I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung keperluan hidup.

“Selagi boleh berjimat kami berjimat dan memang buntu ketika ini, hendak bekerja pun tidak boleh kerana menguruskan anak.

“Apa yang boleh kami lakukan adalah dengan mengusahakan jualan popia basah yang hanya boleh dilakukan sekali sekala sahaja bila berkelapangan,” katanya.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Shahrizan di talian 010-718 5041 atau akaun RHB di atas namanya di 10104400529982. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: