Sabtu, 22 Mei 2021

Bahan kimia tumpah mengalir ke longkang, penduduk sekitar alami pening dan muntah

Pasukan Hazmat bomba dilaporkan sedang bekerjasama dengan JAS serta 
syarikat air negeri untuk mengenal pasti jumlah sebenar bahan kimia yang 
tumpah.

PETALING JAYA: Bau daripada pencemaran disyaki akibat tumpahan bahan kimia daripada sebuah kilang plastik di Senawang, Seremban, pagi tadi mengakibatkan penduduk berdekatan mengalami pening dan muntah.

Laporan awal mendapati tumpahan bahan kimia Methyl Mathacrylate berlaku akibat kerosakan injap tangki simpanannya dalam kilang itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

“Bahan tumpahan dianggarkan sebanyak 500ml mengalir masuk ke longkang kilang, seterusnya mengalir ke longkang awam sejauh 3km.

“Buangan tumpahan dalam longkang berwarna putih dan berbuih dan mempunyai kepekatan pH 4,” katanya dipetik Harian Metro.

Tambah beliau, sampel bahan kimia itu sudah diambil dan selepas siasatan lanjut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, laporan berhubung kejadian itu akan dikemukakan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban Mohammad Idris berkata, orang awam membuat laporan mengenai bau kurang menyenangkan di kawasan berkenaan pada 12.55 tengah hari tadi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati berlaku kebocoran semasa pemindahan bahan kimia berkenaan dari tangki besar dan kerosakan pada pam mengakibatkannya melimpah keluar dan memasuki longkang.

“Tindakan awal dilakukan pihak kilang segera tutup suis kuasa tangki simpanan dan menggunakan bahan penyerap, bagaimanapun injap paip tangki rosak, dan bahan kimia terus mengalir keluar dan memasuki longkang,” kata beliau.

Dalam pada itu, kata beliau, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bomba sedang bekerjasama dengan JAS serta syarikat air negeri untuk mengenal pasti jumlah sebenar bahan kimia terbabit yang tumpah.

Tambahnya, jumlah perumahan yang terjejas akibat kejadian tersebut masih belum dapat dipastikan, namun laporan awal mendapati bahan kimia sudah memasuki saluran longkang di Taman Tuanku Jaafar.

Tiada ulasan: