Selasa, 25 Mei 2021

Anjing boleh kesan jangkitan Covid-19

 Oleh Sheila Rani A/P Chandrasekaran

SEEKOR anjing terlibat dalam latihan mengesan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa San Oscar Romero di San Luis Talpa, El Salvador. - AFP

PARIS: Satu kajian mendedahkan anjing boleh dilatih untuk mengesan lebih 90 peratus jangkitan Covid-19 walaupun pesakit tidak mengalami sebarang gejala.

Penemuan itu diharap dapat membantu menggantikan keperluan melakukan kuarantin terhadap pengunjung yang baru tiba di sesebuah negara.

Jelas kajian itu, dengan menggunakan deria bau yang luar biasa, anjing sebelum ini sudah membuktikan boleh menghidu penyakit seperti kanser, malaria dan epilepsi.   

Malah, beberapa kajian dijalankan sebelum ini juga menunjukkan bukti bahawa anjing boleh mengesan SARS-CoV-2.

Pasukan penyelidik dari London School of Tropical Medicine menjalankan kajian itu untuk melihat sama ada anjing boleh mengesan bau khusus diberikan daripada sebatian kimia berkaitan dengan individu yang positif Covid-19 namun tidak bergejala. 

Kumpulan penyelidik itu mengumpulkan sampel pakaian dan pelitup muka yang digunakan oleh pesakit positif virus SARS-CoV-2 ringan atau simptomatik.   

Sampel stokin daripada 200 kes Covid-19 juga dikumpulkan dan disusun di makmal uji bagi membolehkan enam anjing yang dilatih itu mengesan sama ada terdapat kehadiran atau ketiadaan sebatian kimia tersebut.

Anjing tersebut perlu dilatih agar tidak mengesan `kes positif yang palsu’ yang mana akan diberikan makanan sebagai ganjaran meskipun tiada sampel Covid-19 dalam ujian tersebut.  

“Ini bermakna anjing tersebut memahami dan akan mendapat ganjarannya setelah mengesan sampel positif dan negatif yang betul,” kata Claire Guest dari Faculty of Infectious and Tropical Diseases di institut tersebut.

Secara keseluruhannya, anjing tersebut berjaya mengesan antara 94 dan 82 peratus sampel SARS-CoV-2.

Kumpulan penyelidik kemudian menunjukkan keberkesanan kadar kejayaan itu dengan digabungkan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), yang boleh membantu mengesan kes Covid-19 ringan atau tidak bergejala.

Mereka mendapati anjing boleh mengesan sebanyak 91 peratus kes menerusi penggunaan haiwan itu untuk memeriksa ketibaan pengunjung di terminal lapangan terbang. 

Ini menyaksikan 2.24 kali kadar penularan lebih rendah berbanding dengan ujian PCR semata-mata. – AFP/AGENSI

Tiada ulasan: