Ahad, 31 Januari 2021

Kepatuhan rakyat terhadap SOP, kunci bendung COVID-19

azrulhakimie

 'Sekiranya tiada urusan penting, duduk di rumah': KP Kesihatan

KOTA BHARU – Kepatuhan semua rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) adalah kunci utama dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata apa yang penting bukanlah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat tetapi kepatuhan kepada SOP.

“Sekiranya tiada urusan penting, duduk di rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) dekat sini hari ini.

Beliau mengakui terdapat kelonggaran syarat dalam pelaksanaan PKP kali ini berbanding pada Mac tahun lepas dan berharap rakyat dapat memainkan peranan dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19.

“Kita faham ada kelonggaran sebab kita kena lihat kepada kesihatan dan juga ekonomi. Jadi kedua-dua faktor ini perlu keseimbangan. Itu yang penting supaya kita boleh kawal kes dan juga menjalankan ekonomi,” katanya.

Ditanya kemungkinan PKP disambung selepas 4 Februari ini, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan hanya memberikan nasihat dan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan sewajarnya.

“Jadi untuk mendapatkan kata putus, kita akan berbincang semula dengan melihat kepada tindakan yang sesuai. Sekarang ini kita lihat Selangor catat kes harian yang tinggi. Jadi adakah kita akan bersasar ke Selangor sahaja, maka kita akan bincang dalam MKN,” katanya.

Mengulas lawatannya ke Kelantan, beliau berkata fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri itu masih mempunyai keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik namun aspek sumber manusia dan peralatan perubatan perlu dipertingkat.

“Setakat ini, kita masih belum lagi untuk meningkatkan PKRC memandangkan sekarang ini kita tengok PKRC di PUTIK ini pun tak penuh lagi dan masih ada keupayaan tetapi jika perlu, kita boleh tingkatkan lagi di daerah lain.

“Kita ada ruang contohnya di Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai, masih ada lima unit rawatan rapi yang kosong. Jadi apa yang kita perlukan ialah peralatan dan juga kepakaran serta jururawat terlatih untuk ditempatkan di situ,” katanya. – Bernama

6 kategori pelajar dibenar kembali ke kampus 1 Mac

ainulillia

Pelajar akan ikuti PdP secara hibrid atau dalam talian

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyenaraikan enam kategori pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac depan.

KPT memberitahu, mereka akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian.

“Kategori pertama adalah pelajar daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel serta peralatan khas.

“Kategori kedua adalah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian. Kategori ketiga adalah pelajar program asasi atau setara dan diploma sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

“Kategori keempat pula adalah semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPT menambah, kategori kelima pula adalah pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan keenam mereka yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa serta badan profesional.

KPT menjelaskan, pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

“Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian,” katanya.

KPT menegaskan pihaknya mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal.

PEMBERITAHUAN:

   BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Jalan keluar dari masalah duniawi

 USTAZ MOKHTAR SENIK

HARI ini saya naik Grab dari Bandar Kuantan ke rumah saya di Kampung Kuala Penor. Tiba-tiba pemandu Grab meluahkan masalah yang sedang beliau hadapi. Beliau seorang suami dan ayah kepada 5 orang anak yang masih bersekolah.

Satu ketika dulu beliau berkerja dengan sebuah hotel 5 bintang. Gajinya agak lumayan. Sambil-sambil itu beliau buat bisnes sampingan. Dengan gaji dan pendapatan itu beliau mampu beli banglo, kereta dan keperluan lain yang agak mewah. Namun isteri beliau abaikan, ibu bapa di kampung sering putus belanja. Namun beliau tak banyak bertanya khabar. Beliau mabuk dengan kemewahan sendiri dan duit habis dengan kawan-kawan. Beliau dah lama tak tunai solat. Pernah beliau tampar isteri kerana kejutkan beliau solat Subuh. Mengenai anak-anak, beliau tak ambil tahu. Pernah anak sulung beliau ambil upah cuci kereta dekat car wash kerana nak bayar duit yuran asrama.

Itu dulu, awal tahun lepas bermulanya COVID-19 majikan hotel telah memberhentikan beliau bersama-sama beberapa puluh staf yang lain. Beliau mula berhutang sana sini kerana nak kekalkan hidup mewah yang pernah beliau lalui. Akibatnya hutang beliau semakin berlambak termasuk hutang dengan along. Empat ke lima kali orang-orang along datang cari dekat rumah. Anak-anak hanya mampu menangis bila orang-orang along tampar beliau depan anak-anak. Namun itu semua tidak pernah menjadikan beliau serik. Akhirnya isteri dan anak-anak bawa diri balik kampung di Negeri Sembilan. Khabarnya isteri beliau ambil upah jaga homestay orang di Kampung. Anak sulung dan ketiga (lelaki) bekerja dekat bengkel dan kebun sayur di dengkel. Yang masih sekolah rendah tinggal dengan mak mertua dan ayah mertua yang dah uzur.

Lantas beliau berkata sekarang beliau dah insaf. Hidupnya musnah sama sekali. Sepi, sunyi dan teman-teman pun ramai yang dah lari. Yang ada hanya ketakutan diburu oleh ejen-ejen kewangan tempat beliau berhutang. “Ustaz… tolong saya,” dengan nada sebak. Saya bukan nak pinjam duit bukan nak apa cuma tunjukkan saya jalan hidup yang sebenar. Saya dah buntu ini. Apa perlu saya buat? Lanjut beliau.

Saya pandang wajah beliau. Awan sedih bergayut lebat pada wajahnya. Sejurai air mata menghilir ke lekukan pipinya yang agak cengkung. “Sekarang encik solat tak?,” Tanya saya. “Tidak…,” ujar beliau perlahan sambil menggelengkan kepala dengan lemah. Saya beritahu beliau;

“Itulah salahnya encik dan punca segala masalah yang encik hadapi ini. Encik mahu keluar dari kemelut hidup dunia yang membebankan. Encik mahu lari dari tekanan perasaan. Encik mahu anak-anak dan isteri kembali kepada encik… Betul tak?”. 

Sebelum beliau jawab saya sambung lagi. “Tahu kah encik bahawa dunia ini ada tuannya? Hidup ini ada yang menciptanya? Anak-anak dan isteri encik itu ada tuannya termasuk diri encik iaitu Allah. Hanya Allah yang boleh menyelesaikan masalah encik. Tapi kalau dengan Allah sendiri encik ada masalah iaitu tidak pernah mahu sujud kepadaNya, bagaimana Allah akan menyelesaikan masalah encik? Sebelum encik fikir jalan penyelesaian mana yang nak diambil, terlebih dahulu encik mesti selesaikan permusuhan encik dengan Allah. Sujudlah kepada-Nya. Mengadulah kepada-Nya dan merintihlah kepada-Nya. Saya percaya kalau encik ceritakan masalah encik ini kepada teman-teman lain dan kawan-kawan yang pernah rapat dengan encik, mereka akan buat tak tahu bahkan menyampah mendengarnya bukan?”

“Ya Ustaz, kawan-kawan semua dah lari,” jawab beliau lemah. “Tapi encik, Allah tidak pernah jemu dan meluat dengan encik walau encik derhaka kepada-Nya 1,000 tahun sekalipun, asalkan encik bangun semula dengan penuh insaf dan bertaubat kepada-Nya. Jagalah solat,” tegas saya berulang kali sebelum kereta berhenti di hadapan pagar pondok saya. Beliau pegang tangan saya dan menangis sungguh-sungguh. “Ustaz doakan saya,” ujar beliau dalam sedu yang semakin berat. 

Selepas membayar RM17 tambang beliau. Beliau pun berlalu sambil berkata “Ustaz bersaksilah saya berjanji kepada Allah untuk kembali kepada-Nya.”

Saya perhatikan kereta beliau berlalu dengan perasaan yang juga pilu, namun saya gembira ‘Kuliah live’ saya hari ini berjaya membuatkan hati seorang hamba Allah berjanji untuk kembali kepada Allah, moga beliau berubah. Amiin.

(*) USTAZ MOKHTAR SENIK - Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY

Polis Ranau bina khemah atas bukit mudahkan murid dapatkan internet

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengambil inisiatif membersihkan kawasan dan membina khemah di atas bukit setinggi 100 meter di Kampung Paus di Ranau bagi membantu pelajar mendapatkan capaian Internet untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton berkata ketiadaan isyarat Internet yang baik di kampung itu menyukarkan pelajar mengikuti sesi PdPR, justeru pihaknya menyediakan khemah di atas bukit yang juga di dalam ladang kelapa sawit bagi memberi manfaat kepada lebih 30 pelajar di kampung itu.

“Semua peralatan khemah lengkap dengan meja dan kerusi adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota IPD Ranau selain menyumbangkan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan bakul makanan untuk pelajar di situ,” katanya kepada Bernama.

Sammy berkata Kampung Paus terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Ranau dan lebih 20 kilometer dari jalan utama, sehubungan itu bagi memastikan keselamatan pelajar di khemah berkenaan rondaan pemantauan polis dari IPD Ranau juga dijalankan.

Bersesuaian dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, Sammy berkata khemah berkenaan dibina pada Jumaat lepas hasil gotong-royong petugas di IPD Ranau bagi menyediakan keselesaan kepada pelajar dan secara tidak langsung memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mistirine Radin memuji usaha IPD Ranau yang turut membantu melancarkan proses PdPR meskipun kekangan capaian kemudahan Internet.

Beliau berkata bantuan itu sangat diperlukan oleh pelajar yang sanggup ke lokasi bagi memudahkan mereka mendapat talian Internet dan pesanan pembelajaran daripada guru sekolah.

“Dengan cara itu, pelajar dapat menerima dan menghantar semula latihan yang disemak oleh guru masing-masing melalui aplikasi WhatsApp yang paling popular digunakan pada masa kini,” katanya.

Kes Adib, LTTE gariskan isu perkauman dihadapi PH, kata Tommy Thomas

Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim Adib dan kes membabitkan 
Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) antara isu paling mencabar buat Tommy 
Thomas.

PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas menyifatkan kes membabitkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menggariskan isu perkauman dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness”, beliau menyifatkan sesebuah masyarakat sebagai rasis apabila “ribuan orang membuat keputusan dan hukuman sama terhadap teman senegara.”

“Inilah yang kerap dihadapi kerajaan PH selepas PRU14,” katanya.

Menurutnya, dalam kes kematian Adib kemarahan umum susulan kejadian pada 2018 itu jauh berbeza daripada tindak balas selepas kematian enam penyelam pasukan bomba dan penyelamat tidak lama kemudian, yang enggan diambil tindakan bomba walaupun beliau mahukannya.

Adib parah akibat kecederaan dialami selepas dikerahkan memadam kebakaran di sebuah kuil di Subang dan meninggal dunia beberapa minggu kemudian.

“Disebabkan orang di kuil itu Hindu, media sosial mensensasikan kecederaan Adib dalam hanya beberapa jam, kononnya akibat dibelasah orang India.

“Begitu banyak penipuan disebarkan sehingga blogger dan pengguna internet tidak dapat membezakan fakta dengan kenyataan,” katanya.

Selepas siasatan pelbagai unit polis dan Pejabat Peguam Negara, katanya, tiada jenayah didapati berlaku, sebaliknya Adib dipercayai cedera apabila dilanggar jentera bomba yang mengundur ketika cuba memasuki kenderaan lain. Susulan itu, tiada pihak dipertanggungjawabkan.

Bagaimanapun, Thomas berkata, selepas kematian Adib, orang ramai mendesak pembalasan dikenakan, yang diterukkan dengan dakwaan bahawa kematiannya disebabkan orang India.

Disebabkan itu, katanya, beliau menggesa inkues diadakan yang kemudian mendapati “dua atau tiga orang” menyebabkan kematian Adib – sesuatu yang sukar difahaminya.

“Bagaimana (koroner) mencapai dapatan ini memang menghairankan, memandangkan polis dengan segala pengalaman, kemahiran, tenaga dan sumber pun tidak dapat berbuat demikian,” katanya.

Selain itu, beliau turut memetik kes LTTE membabitkan penahanan 12 lelaki pada Okt 2019 kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Sri Lanka.

Individu terbabit didakwa mengikut Seksyen 130J dan 130JB Kanun Keseksaan serta ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) yang membenarkan tertuduh ditahan sehingga perbicaraan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kes itu “menggusarkannya” kerana kes pendakwa terhadap mereka amat lemah.

Katanya, penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas lemah kerana tidak melaksanakan sebarang serangan sejak kekalahannya pada 2009.

Katanya, memandangkan tindakan lelaki terbabit tidak berniat menyebabkan kecederaan atau kematian, Thomas percaya kes terhadap mereka, iaitu melakukan perbuatan pengganas, adalah lemah seterusnya membenarkan mereka dibebaskan.

“Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan penjelasan saya kerana tiada kemungkinan mendapat sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh itu,” katanya.

PAU secara maya jika darurat berlarutan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan dibuat secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih diteruskan.

Setiausaha Agung UMNO berkata, kaedahnya perhimpunan itu akan maklumkan.

Menurutnya, PAU sepatutnya dijadualkan berangsung pada 30 dan 31 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra tetapi ditangguhkan disebabkan PKP.

”Jika tidak Ketua Bahagian, Ketua #Wanita, #Pemuda & #Puteri berkumpul di #DewanMerdeka & Dewan lain,” katanya.

Ahmad berkata, mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan menetapkan tarikh PAU.

Tegasnya, UMNO akan terus mara untuk rakyat Malaysia walau sebesar mana pun cabaran.

”Perjuangan tetap kita teruskan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada kompromi libatkan hak, kebajikan kanak-kanak – Rina Harun

MGF12112020_RINA-HARUN-4
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Malah kata Rina, sememangnya beliau akan memastikan tindakan tegas diambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kanak-kanak.

“Ingin saya menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam atas kematian Allahyarham Adik Zubaidi Amir Qusyairi bin Abdul Malik semalam malah saya turut merasakan keperitan dan kedukaan yang dirasai oleh ibu-ibu yang mempunyai anak sebaya dengan Allahyarham.

“Saya berkehendakkan agar kematian Allahyarham Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti, dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

“Juga ini akan menjadi pengajaran kepada para ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“Sesungguhnya kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana- mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina menyatakan demikian bagi mengulas insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Mangsa telah ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan sekitar jam 4 petang semalam.

Susulan daripada insiden itu, ibu kandung serta bapa tiri mangsa ditahan polis bagi siasatan lanjut dan proses bedah siasat dijangka selesai malam ini.

Kata Rina, kini pihaknya sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

“Saya minta semua rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan. 

“Atas semangat ‘KitaJagaKita’, saya berharap agar masyarakat turut menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan terus memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan  setempat agar dapat terus melaporkan sebarang kecurigaan kepada pihak berkuasa,” ujarnya. 

Rina meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penderaan kanak-kanak melaporkannya ke Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Merka juga boleh buat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.

Sementara itu, Rina berkata, mereka yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti mana yang tertakluk dalam Akta Kanak-kanak 2001. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi khidmat nasihat terhadap peraturan-peraturan dan prosedur yang sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Rakyat diharap terus istiqamah dan berdisiplin patuhi SOP – Agong

MGF18052020_ISTIADAT-PEMBUKAAN-PARLIMEN07
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara kritikal menghadapi pandemik COVID-19.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.

“Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan kepada media bersempena Hari Wilayah esok.

Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat, khususnya petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak COVID-19.

Pandemik COVID-19 telah memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua pihak mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana sikap prihatin, katanya.

Al-Sultan Abdullah yang genap dua tahun menjadi Ketua Negara hari ini bertitah semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membendung wabak COVID-19.

“Ia juga terserlah melalui usaha-usaha murni kerajaan dan sukarelawan membantu golongan yang memerlukan serta juga melalui pematuhan SOP oleh rakyat jelata.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa prihatin ini bukan sekadar slogan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

“Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” kata Ahmad Fadil.

Sementara itu sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.

Sikap itu termasuk prihatin terhadap keluarga, sahabat, jiran, pekerja dan semua insan yang berada di sekeliling.

Bersempena Hari Wilayah esok, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat agar menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan.

Titah Al-Sultan Abdullah, ia selari dengan tema sambutan kali ini, bersesuaian dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensinya, mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif  seperti ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warganya.

“Seri Paduka Baginda dimaklumkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Wilayah Prihatin telah menyediakan pelbagai inisiatif kepada warganya yang terkesan akibat ancaman COVID-19.

“Ia selaras dengan semangat inisiatif tersebut membantu golongan terbabit, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah bertitah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga menjadi antara nadi yang menjana pertumbuhan negara ini dengan menyumbang sebanyak 13.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara, titah Seri Paduka.

Sementara itu, bersempena genap dua tahun Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Ahmad Fadil turut mengambil kesempatan merafak sembah tahniah dan setinggi-tinggi syukur.

“Semoga Allah SWT terus memberkati pemerintahan Tuanku – Daulat Tuanku – menjunjung kasih,” kata Ahmad Fadil. – MalaysiaGazette

Amir pasti panggil umi saat akhir nyawanya – Norlida

cium-bantal
Norlida Abu Hassan mencium bantal yang diberikan Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek kepadanya.

KUALA LUMPUR – Ibu angkat kanak-kanak malang yang meninggal dunia dipercayai akibat didera tidak dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung oleh Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, sehingga dia meninggal dunia.

Sambil menangis tersedu-sedan, Norlida Abu Hasan yakin Allahyarham pasti ada memanggil namanya pada saat-saat akhir nyawanya.

“Dia mesti panggil umi, dia mesti panggil umi sebab dulu di rumah kalau kakak dia marah ke, dia akan duduk menangis panggil saya.

“Umi, umi, dia panggil saya pujuk dia. Saya yakin dia mesti panggil umi,” katanya dengan linangan air mata.

Norlida meluahkan rasa hatinya di depan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang mengunjungi keluarga angkat Amir.

Dengan tangisan terisak-isak, Norlida menyifatkan kehadiran Amir sebagai satu anugerah yang tidak ternilai kepadanya dan sentiasa memastikan anak itu dalam keadaan baik.

“Kalau dia digigit nyamuk pun saya kelam-kabut cari ubat atau minyak untuk sapu,” katanya yang mengucap syukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk membesarkan kanak-kanak malang itu.

Norlida yang menangis sepanjang pertemuan dengan Rina berkata, beliau cukup terkilan kejadian yang menimpa anak itu kerana Allahyarham anak yang baik dan mendengar kata.

Selain boleh menghafal surah al-Mulk, Allahyarham juga boleh mengaji dengan baik dan bersolat.

“Saya tidak bayangkan keadaannya jika dia tinggal dengan maknya dari kecil,” ujarnya yang memegang erat bantal di atas ribanya sepanjang pertemuaan itu.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, bantal yang dipegangnya itu kepunyaan Amir.

“Dia bagi saya bantal ini. Masa jumpa hari tu dia tanya saya: “Umi rindu adik?

”Dia tahu saya tidak boleh berpisah dengan dia, tu dia bagi bantal ni sebagai penggantinya” tambah Norlida lagi sambil menekup bantal ke mukanya bagi menahan tangisannya.

Norlida yang cukup terkilan dengan kematian Amir yang tragis itu berkata, sebelum ini dia telah meminta izin ibu kanak-kanak itu untuk menjaganya dua tahun lagi kerana mahu memastikan anak angkatnya boleh solat dan mengaji dengan sempurna.

Awalnya, ibu Amir setuju kerana merancang untuk menyekolahkan Allahyarham di Melaka.

Walaupun redha dengan ketentuan Allah yang hanya meminjamkan Amir selama enam tahun, Norlida berharap nenek Allahyarham membenarkan dia mengurus dan mengebumikan jenazah anak tersebut di Rawang.

“Saya faham dalam hal ini waris Amir lebih berhak. Tetapi saya mohon belas ihsan neneknya. Biarlah Amir dikebumikan dekat dengan saya.

”Benarkanlah saya kebumikan tempat dia dibesarkan, disekolahkan.

“Kalau saya rindu, bolehlah saya ziarah kuburnya. Kalau di sini mungkin (kubur) tidak terjaga sebab mereka jaga dia tiga bulan je,” katanya penuh berharap.

Norlida berkata, kemungkinan besar jenazahnya dibenarkan dituntut esok. – MalaysiaGazette

Tambah denda langgar SOP akan tambah Kluster Penjara – Musa

Wartawan MalaysiaGazette
MGF24092020_SIDANG-MEDIA-BERSAMA-ANUAR-HASSAN_09
Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta tidak membebankan rakyat dengan meningkatkan denda kepada mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas Ketua Polis Negera, Tan Sri Musa Hassan berkata, rakyat semakin terkesan dan dalam kesusahan kerana hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

”Janganlah dibebankan lagi dengan meningkatkan denda melanggar SOP,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan kewujudan lebih ramai kluster penjara apabila semakin banyak orang dipenjarakan akibat tidak mampu membayar denda.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Katanya, setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, kebanyakannya membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.

“Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil, maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan,” kata Abdul Hamid. – MalaysiaGazette

Kerajaan Selangor perlu tetapkan dasar jelas, henti susahkan rakyat – Noh

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF31012021_PEMBUKAAN-SEMULA-PASAR-PAGI-SUNGAI-LONG_13
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan serdahana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (dua kanan) bertanyakan dengan peniaga semasa membuat lawatan selepas pembukaan semula pasar pagi di Pasar Pagi Sungai Long, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK,

KAJANG – Kerajaan Selangor perlu menetapkan satu dasar yang jelas untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah bagi mengelakkan orang ramai menghadapi masalah lebih-lebih lagi ketika negara dalam situasi darurat.

Malah, kerajaan negeri juga perlu menghentikan perkara-perkara yang boleh menyebabkan rakyat menjadi susah terutamanya peniaga kecil yang kini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Katanya, exco kerajaan negeri pula perlu diberi kuasa untuk membuat dasar-dasar yang menjurus kepada rakyat dan bukannya membuat sesuatu yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya minta kerajaan Selangor hentikan buat kerja-kerja gila ni…kenapa nak diganggu peniaga yang nak cari makan dalam keadaan negara tengah darurat?

“Ini bukan kali pertama berlaku, dulu pernah terjadi di Puchong dan sebelum ini di Rawang.

“Kalau ini boleh dibuat (dasar) saya yakin rakyat boleh cari makan dalam waktu darurat ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan pasar pagi di Bandar Sungai Long di sini hari ini.

MGF31012021_PEMBUKAAN-SEMULA-PASAR-PAGI-SUNGAI-LONG_18
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bercakap pada 
sidang media selepas membuat lawatan di Pasar Pagi Sungai Long, Selangor. Foto 
SYAFIQ AMBAK

Terdahulu, Noh yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meninjau aktiviti perniagaan di pasar pagi berkenaan selepas ia menjadi kecoh sejak beberapa hari lalu.

Baru-baru ini, peniaga Pasar Pagi Sungai Long menyuarakan ketidakpuasan hati apabila diarahkan menandatangani surat akujanji yang membolehkan mereka beroperasi di kawasan yang sama.

Mereka mendakwa dalam akujanji itu menyatakan para peniaga diarahkan berpindah ke Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long pada 2 Mac depan.

Turut serta melakukan tinjauan tersebut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.

Mengulas lanjut, Noh berkata, peniaga yang hendak dipindah perlulah disediakan tempat sesuai sebagai ganti serta kawasan itu tidak menyukarkan peniaga yang hendak dipindahkan.

Dengan mengambil contoh ketika pemerintahan Barisan Nasional satu ketika dahulu yang mana peniaga yang hendak dipindah ditempatkan di satu rumah panjang yang selesa untuk mereka.

Dalam pada itu Noh turut memuji kerajaan Selangor apabila memutuskan peniaga di situ meneruskan aktiviti perniagaan untuk tempoh dua tahun lagi sementara PBT di kawasan tersebut menyiapkan pasar kekal yang baharu.

“Ini baru betul, jangan terus nak tutup. Nasib baik peniaga-peniaga ni bangkit menyuarakan masalah mereka.

“Kerajaan kenalah betul, jangan bila rakyat bangkit baru nak bertindak. Jadi kerajaan kena bijak,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan mendakwa, apa yang berlaku di pasar pagi di situ adalah apabila ada pihak yang cuba menunjukkan kuasa hingga menyebabkan PBT menerima tekanan daripada ahli politik.

Katanya, desakan yang bertali arus daripada Ikhlas serta campurtangan Noh telah menyebabkan Exco Kerajaan Negeri turun padang hari ini sekaligus menyerahkan surat kebenaran supaya peniaga terus menjalamkan aktiviti mereka untuk tempoh dua tahun lagi di situ.

“Bila peniaga beri tekanan buat laporan polis barulah perkara ini nak selesai walaupun peniaga dapat surat ini mereka masih khuatir lagi kerana ini daripada PKR dan bila DAP bagi tekanan apa akan berlaku pada surat ini. Jadi, kita harap tak akan ada masalah timbul selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Boleh tamatkan PKP tapi ketatkan SOP, tiada rentas negeri [METROTV]

Kuala Lumpur: "PKP tetapi macam tak PKP." Itulah persepsi dan tanggapan rata-rata masyarakat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Isu itu timbul apabila 'PKP 2.0' dikatakan tidak begitu berjaya melandaikan kes penularan Covid-19 yang mencecah empat angka setiap hari dengan penguatkuasaannya dilihat amat longgar, dan kerana itu ada rasa bimbang jika PKP kali ini ditamatkan, situasi jangkitan Covid-19 dalam negara akan menjadi lebih teruk.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, apa yang lebih penting adalah prosedur operasi standard (SOP) diketatkan agar penularan pandemik itu tidak menjadi lebih parah dan matlamat untuk menurunkan angka kes semaksimum yang mungkin akan dapat dicapai.

"Orang jadi marah sekarang ini kerana walaupun PKP, tetapi SOP tidak tentu hala, seperti tiada PKP. Sebenarnya kalau tiada PKP tidak apa tetapi SOP dan pematuhannya adalah yang paling penting bagi melandaikan lengkung penularan," katanya.

Pada 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaannya.

Namun keesokannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia hanyalah bayangan yang dibuat oleh Dr Noor Hisham, dan keputusan sama ada pelaksanaan PKP lebih ketat atau kembali kepada PKP Bersyarat (PKPB), bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dr Zainal Ariffin berkata jika PKP ditamatkan dan PKPB diperkenalkan kembali, perlunya larangan menjalankan perjumpaan sosial beramai-ramai atau apa jua perhimpunan yang membabitkan ramai orang, selain larangan rentas negeri.

"Mana-mana majlis tertutup khususnya seperti makan-makan, kenduri-kendara, sambutan hari jadi yang membabitkan ramai orang tidak seharusnya dibenarkan. Buat seperti negara lain contohnya di Singapura, hanya lima orang sahaja maksimum boleh berkumpul untuk majlis sosial.

"Selain itu, jadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori iaitu apabila keluar rumah sahaja automatik pakai atau dikenakan tindakan. Penjarakan fizikal juga perlu diutamakan, kalau nampak ramai berkerumun di kedai atau pejabat, ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Dr Zainal Ariffin berkata kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap industri perkilangan dengan menutup kilang terbabit apabila terdapat laporan bahawa pekerja mereka positif Covid-19.

"Kilang mencatatkan kes yang sangat tinggi, jadi kerajaan perlu lebih bertegas...kalau dahulu bila kes ribu-ribu baru diarahkan tutup, tetapi sekarang ini jika kilang catatkan satu atau dua kes sahaja ia perlu diarahkan tutup sampailah keadaan bertambah baik," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sepatutnya menyediakan dan menunjukkan kepada rakyat segala strategi mereka untuk melawan Covid-19, sepertimana Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengeluarkan 200 muka surat strategi untuk memerangi Covid-19 pada hari pertama menjadi presiden.

Dr Zainal Ariffin berkata kerajaan juga boleh melaksanakan PKP bersasar dengan 'menutup' negeri-negeri yang mencatatkan kes yang tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Beliau turut mengingatkan meskipun PKP ditamatkan dan diganti dengan kaedah yang lain, namun angka positif diramal tidak akan menurun untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari berikutan tempoh pengeraman Covid-19.

Senada dengan Dr Zainal Ariffin, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata negara lebih memerlukan PKP secara bersasar, berbanding secara menyeluruh, yang boleh dilaksanakan terhadap sektor 'panas' yang telah dikenal pasti.

"Kita sedia maklum akan kesan pelaksanaan PKP terhadap masyarakat, terutamanya dari segi sektor ekonomi dan pada masa yang sama juga, kita perlu menangani wabak Covid-19 dengan bilangan kes empat angka...mengimbangi kedua-dua perkara ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa sektor yang menjadi 'hotspot' kepada kes Covid-19, maka mungkin boleh PKP disasarkan kepada sektor-sektor ini," katanya sambil menambah, tempoh 14 hari mungkin boleh dijadikan asas untuk PKP bersasar.

Beliau berkata sama ada PKP, PKPB atau PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan atau SOP diperketatkan sekalipun, jika kesedaran masyarakat adalah rendah, ia juga tidak akan membantu menurunkan bilangan kes dan seterusnya menyekat penularan wabak Covid-19.

Katanya, PKP adalah usaha fizikal dalam menghalang usaha virus untuk mencari 'perumah' (manusia), maka sebab itu semasa PKP kerajaan mengehadkan pergerakan dan interaksi rapat 'perumah' agar jangkitan terhadap 'perumah' baharu dapat dihalang.

"Kesedaran masyarakat sangat penting dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dan ini adalah cabaran yang sangat besar. Kita perlu mengambil contoh masyarakat New Zealand dalam mematuhi SOP dan kita lihat kepada kejayaan mereka. Majoriti masyarakat faham akan peri pentingnya dalam mematuhi SOP tetapi ada juga sebahagian yang tidak, mereka inilah akan mendatangkan masalah," katanya.

Dr Yahya berkata oleh itu, vaksin adalah cara untuk menghadapi masalah Covid-19 dalam masyarakat iaitu dengan mewujudkan imuniti kelompok, negara akan mempunyai peluang lebih baik dalam menyekat penularan Covid-19.

Tumpas kegiatan lombong emas haram

Mohd Rafi Mamat

PALONG besi yang digunakan dalam kegiatan melombong emas. FOTO Mohd Rafi Mamat

Lipis: Pejabat Hutan Daerah (PHD) menyekat kegiatan melombong emas secara haram di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, di sini semalam.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan carigali terbabit menemui tapak khemah sindiket dipercayai dianggotai empat hingga enam individu.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati kegiatan melombong emas di situ masih baharu dilakukan dan kesan aktiviti mengambil pasir dan mengorek batu dalam sungai masih berada pada peringkat awal serta kerosakan permukaan tanah masih sedikit namun suspek sudahmeninggalkan tempat itu.

Katanya, kesan penggunaan jentera pada tahap tidak serius dan pencemaran air sungai yang kebiasaanya berlaku tidak dikesan masyarakat setempat sebelum ini.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit menemui jengkaut dan lori hantu yang digunakan untuk memindahkan pasir serta batu. Mereka menyimpan jentera berkenaan di Kompartmen 80 Hutan Simpan Ulu Jelai kira-kira dua kilometer dari kawasan aktiviti melombong.

"Turut ditemui di situ palong besi yang digunakan untuk kegiatan melombong emas. Sindiket terbabit menjadikan Hutan Simpan Ulu Jelai sebagai lokasi kegiatan mereka berikutan kawasan di situ dipercayai mengandungi galian emas yang tinggi," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, kes kali ini adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini. Tahun lalu lima kes dikesan dan beberapa individu ditahan.

Katanya, difahamkan terdapat sindiket menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar unuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.

"Kita bertindak menyita hasil penemuan termasuk dua jentera dan proses membawa keluar mengambil masa lebih 12 jam untuk disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Batu 18 Tersang, Raub.

"Mereka yang ditahan melakukan kegiatan melombong emas secara haram dalam hutan simpan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

PEMBERITAHUAN:

  BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Kaedah penilaian pelajar sekolah perlu dirombak?

 BERNAMA

KELIHATAN pelajar SMK St Mary memakai pelitup muka ketika berada di perkarangan sekolah selepas tamat waktu persekolahan. FOTO ASYRAF HAMZAH

Kuala Lumpur: Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan akibat pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu, sektor pendidikan antara yang paling terkesan dan isu berkaitannya masih belum reda hingga hari ini.

Ancaman Covid-19 menyebabkan beberapa keputusan penting diambil Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk membatalkan dua peperiksaan utama tahun lepas iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Tahun 6 dan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu (UPSR dan PT3) pernah dibangkitkan sebelum kedatangan pandemik lagi namun mendapat pelbagai halangan termasuk bantahan daripada ibu bapa.

Covid-19 juga menyebabkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang sepatutnya diduduki pada hujung tahun lalu ditangguhkan ke awal tahun ini.

Hampir 500,000 calon SPM, SPVM, STAM dan 47,008 calon STPM dijangka menduduki peperiksaan penting itu bermula Februari dan Mac ini.

Dengan apa yang berlaku sekarang, ada beranggapan sektor pendidikan yang paling teruk terjejas akibat Covid-19.

Mungkin kesan pandemik ini boleh menjadi titik awal perubahan dalam penilaian pelajar di peringkat sekolah rendah hingga menengah yang sebelum ini memfokuskan kepada peperiksaan sebagai cara utama menilai keupayaan pelajar.

Cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik terutamanya supaya sistem pendidikan tidak lagi melihat kepada sistem peperiksaan sebaliknya meneroka bakat dan keperluan mandiri pelajar perlu diberikan pertimbangan serius.

Walaupun masih menjadi perdebatan untuk mengadaptasikannnya dalam sistem pendidikan, namun jalan ke arah itu harus dibuka seluas-luasnya, menurut pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad.

Katanya, sistem penilaian boleh dilakukan dalam bentuk yang lain antaranya penilaian secara berterusan.

"Penilaian yang baik dan berkualiti itu mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk yang lain. Lembaga Peperiksaan perlu lebih terbuka dalam meneroka perkara ini. Pemikiran baharu amat diperlukan, sesuai dengan perubahan semasa yang berlaku hari ini kerana kita sudah terlalu lama dalam aspek peperiksaan secara tradisional," katanya.

Jelas beliau, pandemik ini memberi satu pengajaran bahawa kita tidak boleh lagi menunggu dalam bentuk peperiksaan yang sebenarnya sudah ketinggalan dari segi pengalamannya.

"Kita harus bergerak pada bentuk penilaian yang lebih baik, lebih baharu yang lebih sesuai dengan masa dan ketika ini serta masa hadapan. Melalui sistem peperiksaan yang ada sekarang mungkin pelajar boleh mendapat A, B atau C tetapi sejauh mana subjek yang dia (pelajar) tahu itu dikuasai dalam konteks amalannya, keupayaannya untuk melakukan kreativiti," katanya

Sebagai contoh, ada pelajar yang boleh menghafal dan memperoleh A dalam subjek tertentu tetapi adakah pelajar itu mampu memberi hujahan atau kreativiti mahupun berfikir luar daripada apa yang dihafalnya.

"Oleh itu, bagaimana untuk membina satu kumpulan pelajar yang inovasi, kreatif kalau masih mengamalkan sistem peperiksaan yang ada seperti sekarang ini. Sistem penilaian ini mestilah diangkat dalam bentuk yang baharu jika kita mahu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif," tegasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpendapat sudah tiba masanya sistem penilaian berasaskan peperiksaan dirombak dengan memperbetul arah tuju penilaian secara menyeluruh.

Situasi semasa pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan khususnya kebergantungan kepada peperiksaan dan pemberatan penekanan pencapaian akademik, katanya.

Penilaian pelajar harus dalam pelbagai aspek ke arah pemikiran aras tinggi yang mencakupi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialisasi.

Mohamad Ali berkata unsur-unsur pemikiran kreatif, saintifik dan aras tinggi ini perlu dipasak seawal mungkin di peringkat prasekolah melalui kaedah yang lebih menarik termasuk menerusi permainan.

Apabila telah disemai di peringkat awal, pendidikan yang diterima dan dipelajari itu menjadi keseronokan, tidak jumud dan mampan sepanjang masa dan zaman.

Beliau mencadangkan beberapa langkah antaranya melaksanakan Penilaian Berterusan Sekolah (PBS) dan tidak 100 peratus peperiksaan akhir tahun.

"PBS yang diamalkan...mungkin bagi sistem penggal persekolahan dengan pengambilan markah 33:33:34 (tiga penggal) atau bagi sistem semester 50:50/60:40 (dua semester). Teori dan amali atau tugasan juga dipastikan (diseimbangkan) bagi setiap mata pelajaran," katanya, sambil menambah kaedah ini juga perlu diterapkan dalam peperiksaan utama seperti SPM dan STPM.

'Saya terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah'

Norlida (tengah) sedih selepas mengetahui kematian anak angkat selepas diserahkan kepada ibu kandungnya empat bulan lalu.-\Foto Amir Mamat
Norlida (tengah) sedih selepas mengetahui kematian anak angkat selepas diserahkan kepada ibu kandungnya empat bulan lalu.-\Foto Amir Mamat

MELAKA: "Saya menyesal menyerahkan semula anak angkat kepada ibunya, tetapi apakan daya, saya memahami hak seorang ibu yang mahu anak kembali ke pangkuannya.

"Tetapi saya tidak sangka dia diperlakukan sebegitu hanya selepas empat bulan kami berpisah, sedangkan dia anak yang baik dan tidak pernah membantah kata selama menjaganya sejak bayi lagi," kata Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera.

Kisah perpisahan Norlida dan anak angkatnya pernah tular di Facebook pada Oktober tahun lalu dan mendapat perhatian ramai yang turut bersedih berikutan kanak-kanak terbabit terpaksa diserahkan semula kepada ibu kandungnya.

Norlida yang tinggal di Rawang, Selangor berkata, beliau terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah ketika didera sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Saya menjaganya seperti 'menatang minyak yang penuh' dan menganggapnya sebagai anak bongsu. Sejak menjaganya, dia tidak pernah menyusahkan saya, malah arwah memang tidak pernah mendesak jika mahukan sesuatu termasuk barangan permainan.

"Arwah juga berjaya menghafal surah Al-Mulk selepas belajar dengan kakak angkatnya.

"Saya memang terkejut dengan keadaan ini. Kenapa dia diperlakukan seperti itu, saya memang tak sangka," katanya ketika ditemui di rumah kenalannya di Batu Berendam di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak berkenaan, semalam direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi hari ini, selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Norlida berkata, dia sekeluarga amat terkejut selepas dihubungi jiran kepada ibu kandung mangsa dari Krubong kira-kira jam 8 malam tadi yang memaklumkan berita sedih itu selepas mengetahui video tular perpisahan mereka sebelum ini.

Katanya, beliau sekeluarga tidak menyangka kematian tragis mengakhiri hidup anak angkatnya itu, sebelum bergegas ke Melaka malam tadi.

"Sebagai ibu, saya faham apabila ibu kandung mangsa selalu mengatakan kerinduannya kepada anak, jadi saya reda melepaskannya kerana ketika ibu kandungnya meminta saya menjaga anaknya, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

"Malah, ketika menyerahkan semula kanak-kanak itu, saya terpaksa akur kerana tidak mahu bergaduh dengan ibunya," katanya.

Norlida berkata, sepanjang menjaga kanak-kanak berkenaan sejak berusia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, ibu kandungnya jarang berjumpa, malah langsung tidak mengambil tahu mengenai mangsa.

Katanya, selepas mereka berpisah empat bulan lalu, ibu kandung kanak-kanak itu menghalang mereka daripada terus berhubung.

"Kami mahu bercakap di telefon pun dihalang, malah mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan video juga tidak dibenarkan.

"Bapa tiri mangsa terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap-senyap kerana ibu kandungnya bimbang saya akan mengambilnya semula," katanya.

Berkongsi detik terakhir bertemu mangsa pada awal November tahun lalu, Norlida berkata, bapa tiri arwah yang bekerja sebagai pemandu lori membawa kanak-kanak itu berjumpanya di kedai makan di Rawang tanpa pengetahuan ibunya.

"Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa, namun dia mendiamkan diri.

"Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, 'Adik rindu Umi tak?' dan dia menjawab 'Adik rindu Umi, abah, kakak dan abang, tetapi adik tak boleh sebab terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya)," katanya.

Penyelia tapak maut kereta dihempap kren

BH ONLINE
- Foto ihsan Bomba
- Foto ihsan Bomba

KUANTAN: Seorang penyelia tapak maut selepas keretanya dihempap kren yang dipercayai mengalami masalah brek di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Belimbing, Maran, kira-kira 60 kilometer dari sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, Mohd Thaariq Asyraf Misbah, 29, dari Masai, Johor maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta Toyota Corolla yang dipandunya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kren itu mengelongsor ke belakang akibat brek tidak berfungsi ketika pemandunya berusia 48 tahun cuba mengundurkan jentera berat itu di kawasan yang agak bercerun.

"Kren itu kemudian merempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terseret ke dalam longkang diikuti kren yang kemudian menghempap kereta terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Kamarulzaman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga bekerja di situ dikatakan sedang meletak kenderaan berkenaan yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pembinaan.

Pemandu kren berasal dari Gelang Patah, Johor dilaporkan tidak cedera.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Projek sayur bantu asnaf, belia

Oleh Mohd Khidir Zakaria
Antara peserta Projek Kebun Mini MPKK di tapak projek di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Antara peserta Projek Kebun Mini MPKK di tapak projek di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Projek tanaman sayur antara projek rintis bagi mencari solusi masalah ekonomi yang semakin mencengkam ramai penduduk selepas diserang wabak pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.

Seramai lapan peserta, empat asnaf dan empat belia Kampung Sawah Sunggala memulakan projek rintis sejak sebulan lalu apabila mengusahakan tanah terbiar milik kerajaan seluas 0.4 hektar di sini.

Idea dan perancangan awal projek ini dilakukan sendiri Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Muhammad Saufi Miad.

Katanya, buat masa ini, hanya kawasan bersebelahan Taman Al Quran Kampung Sawah Sunggala sesuai sebagai permulaan projek rintis pertanian bagi menambah pendapatan penduduk terutama golongan asnaf dan juga belia yang tiada pekerjaan.

"Golongan asnaf dan juga belia yang tiada atau hilang pekerjaan adalah sasaran saya untuk memulakan projek tanaman sayur jenis terung dan cili.

"Saya juga menggalakkan penduduk membuat kawasan tanaman sayur di rumah sendiri manakala kami menyediakan benih cili atau terung secara percuma di Projek Kebun Mini MPKK yang kami sediakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, peluang bagi menambah pendapatan melalui bidang pertanian cukup besar jika diusahakan bersungguh-sungguh.

"Kebanyakan orang kampung ini tidak tahu bagaimana cara memasarkan produk seperti sayur yang ditanam secara komersial. Sebagai jalan penyelesaian, saya beli semua hasil mereka untuk memudahkan mereka tanpa memikirkan bagaimana ia dipasarkan.

"Saya nak bantu asnaf dan belia di kampung ini dengan membuka kios menjual sayur dari ladang untuk melahirkan asnaf usahawan dan akhirnya, keluar dari masalah kemiskinan atau gelaran asnaf itu sendiri," katanya.

Muhammad Saufi berkata, bagi menyahut seruan kerajaan, dia mencari tanah terbiar milik kerajaan atau persendirian untuk diusahakan bagi menambah pendapatan penduduk terutama di sekitar Port Dickson ini.

"Di seluruh Negeri Sembilan ada beribu hektar tanah terbiar dan tanah persendirian tidak diusahakan tetapi boleh menghasilkan pendapatan lumayan jika diusahakan dengan gigih .

"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) harus membantu golongan terjejas ini kerana kita nak galakkan orang ramai menjadikan bidang pertanian sebagai jalan keluar dari masalah kemiskinan," katanya.

Katanya, bagi menjayakan Projek Kebun Mini MPKK ini, pihaknya mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM5,000 keseluruhan dan berharap akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

PKP dilanjut?

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Mungkinkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selepas 4 Februari ini?

Atau kerajaan akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di negeri-negeri yang berlaku kenaikan kes mendadak Covid-19?

Kemungkinan itu boleh berlaku memandangkan kes harian Covid-19 hampir mencecah 6,000 kes dua hari berturut-turut dengan merekodkan 5,728 kes semalam dan 5,725 kes sehari sebelumnya.

Ditanya berhubung ramalan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan sama ada melanjutkan atau menamatkan PKP mengikut kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, bagaimanapun, segala pertimbangan akan diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan dimaklumkan dua hari sebelum tempoh PKP  berakhir.

“Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian risiko. Segala keputusan akan dimaklumkan pada  sidang Khas MKN,” katanya semalam.

Jumlah kes positif melebihi 5,000 itu berlaku lebih awal berbanding jangkaan KKM yang diunjurkan hanya akan direkodkan pada minggu ketiga Februari.

Jangkaan lebih buruk pula akan dicatatkan sehingga 8,000 kes pada minggu ketiga Mac ini  jika unjuran kes dengan kadar kebolehjangkitan (R0)  pada 1.2.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pernah membayangkan hanya pelaksanaan PKP empat minggu mampu menurunkan kepada 1,000 kes positif atau sekurang-kurangnya 500 kes bagi membolehkan fasiliti kesihatan negara mampu menampung kes positif Covid-19.

Namun, beliau optimis langkah kerajaan melaksanakan perintah itu berada di landasan betul dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan  walaupun jangkaan itu hanya berlaku dalam tempoh 12 minggu.

Tempoh dua minggu pelaksanaan perintah itu, menurutnya, hanya boleh mengelak pertambahan kes dan berada pada tahap terkawal. -UTUSAN ONLINE

Jiran sempat ambil gambar mangsa termenung

 Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Kanak-kanak yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera 
oleh ibu kandung dan bapa tirinya

MELAKA: Seorang gadis iaitu jiran kepada kanak-kanak yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya semalam (Jumaat), sempat mengambil gambar mangsa sedang termenung kira-kira tiga minggu lalu. 

Menurutnya yang enggan dikenali, dia mengambil gambar mangsa selepas beberapa kali melihatnya termenung di bahagian hadapan dan belakang rumah. 

“Saya sengaja mengambil gambarnya selepas beberapa kali melihatnya termenung pada minggu lalu. 

“Ketika mengambil gambar, saya ada melambainya. Namun mangsa tidak membalasnya dan terus masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Taman Krubong Jaya di sini.

Ibu gadis berkenaan pula memberitahu, selepas mendapat tahu tentang nasib malang yang menimpa arwah, dia telah berkongsi gambar diambil anaknya itu dengan keluarga angkat mangsa yang turut tular menerusi laman sosial Facebook. 

“Saya ada mengucapkan takziah kepada keluarga angkatnya dan kebetulan anak saya pernah mengambil gambar arwah sedang termenung, jadi saya kongsikan gambar tersebut dengan mereka,” katanya.

Gambar mangsa yang termenung di tingkap rumahnya itu menjadi tular sejak petang tadi. 

Mengulas lanjut mengenai sikap kanak-kanak itu sepanjang duduk bersama ibu kandung dan bapa tirinya, keluarga itu berkata, arwah pernah dilihat bermain dengan dua adik-beradiknya di dalam pekarangan rumah. 

“Kami sekeluarga bekerja dan hanya pulang lewat petang, jadi kami tidak tahu apa yang berlaku di rumah tersebut. Sekali sekala nampak dia (mangsa) bermain, ada juga mendengar suara budak menangis tetapi ia tidaklah kerap atau melolong,” katanya. 

Tambahnya, dia hanya mengetahui kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia selepas ternampak ambulans di hadapan rumah keluarga tersebut dan dimaklumkan ayah tirinya bahawa kanak-kanak itu lemas di dalam tong air. 

Dalam pada, seorang lagi jirannya yang merupakan suri rumah berusia 43 tahun mendakwa, semasa kejadian pada petang semalam, dia dimaklumkan oleh seorang pegawai perubatan bahawa mangsa telah lama meninggal dunia. 

“Apabila nampak ada ambulans datang, saya terus bergegas ke luar rumah dan diberitahu oleh ayah tiri mangsa bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat lemas. Saya juga nampak ibu mangsa duduk diatas sofa sambil menangis.

“Saya kemudian bertanya kepada pasukan paramedik di lokasi mengenai kejadian tersebut dan salah seorang daripada mereka. Saya tak pasti sama ada doktor atau pegawai perubatan maklumkan kanak-kanak itu sebenarnya sudah lama meninggal dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Ibu bapa, guru diminta beri pandangan berkenaan isu pendidikan

Bernama
Ibu bapa, guru diminta beri pandangan berkenaan isu pendidikan
Jalaluddin berkata ia susulan kebimbangan masyarakat terhadap cabaran 
pendidikan anak-anak yang kini melalui fasa Pengajaran dan Pembelajaran 
di Rumah (PdPR). - Gambar fail
 
SEREMBAN: Ibu bapa diminta mengemukakan pandangan berhubung langkah untuk membolehkan semua pelajar sekolah dan universiti mendapat pendidikan yang terbaik dalam keadaan negara dilanda wabak COVID-19.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Datuk Jalaluddin Alias berkata ia susulan kebimbangan masyarakat terhadap cabaran pendidikan anak-anak yang kini melalui fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
 
"Ketika ini saya melihat pendidikan semakin hari semakin tidak menentu dalam keadaan pandemik COVID-19.
 
"Ramai ibu bapa merungut sama ada di kawasan bandar dan luar bandar tentang pendidikan dan kebimbangan mereka terhadap generasi akan datang hasil daripada kekurangan pendidikan di peringkat rendah, menengah dan universiti kerana kurang mendapat pendidikan secara fizikal (bersemuka).
 
"Masalah juga perlu dilihat kepada pelajar luar bandar dari segi capaian internet, kekurangan peranti dan kemampuan ibu bapa untuk mengadakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak dan sebab itu saya kemukakan tinjauan pendapat untuk mendapatkan pandangan mereka," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.
 
Ahli Parlimen Jelebu itu berkata kesemua pandangan berkenaan akan dirumuskan di peringkat jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
 
Jalaluddin berkata selain ibu bapa, guru dan kumpulan profesional juga dialu-alukan memberi pandangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di institusi pendidikan serta keberkesanan PdPR yang digunakan ketika ini.
 
"Semua dapatan daripada pelbagai golongan termasuk guru-guru amat penting untuk dikumpulkan bagi mencari formula dan solusi terbaik untuk mengatasi masalah pendidikan ketika ini. Apabila formula ini dapat dihasilkan, kita akan kemukakan kepada kerajaan untuk tindakan berkaitan dasar pendidikan negara," katanya.
 
Menurut beliau, pandangan berkenaan boleh dikongsikan dalam tinjauan pendapat yang dimuatnaik di laman Facebook dan twitter rasminya iaitu Jalaluddin Alias dan setakat ini, tinjauan berkenaan menerima maklum balas daripada 42 individu.-- BERNAMA

Lima beradik bergilir guna telefon pintar ibu, arwah bapa

Sinar Harian
Lima beradik bergilir guna telefon pintar ibu, arwah bapa
Syed Mohd Johan Rizal (tiga dari kiri) dan Mohd Fadzil (dua dari kiri) turun 
 padang menyalurkan sumbangan tablet untuk kegunaan anak Saadiah Puteh 
(tengah) di Kampung Dewan, Alor Malai pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
 
ALOR SETAR: Lima anak kepada seorang ibu tunggal terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit milik wanita tersebut dan peninggalan arwah bapa mereka bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kediaman mereka di Kampung Dewan, Alor Malai di sini.
 
Saaidah Puteh, 40, berkata, tujuh daripada sembilan anaknya bersekolah, namun lima daripadanya mengikuti PdPR manakala seorang lagi adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia yang belajar di sekolah seperti biasa dan seorang lagi anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang kebetulan tiada sesi PdPR.
 
Anak Saadiah semuanya seramai sembilan orang berusia dari 20 tahun hingga dua bulan manakala suaminya, Zainol Abididil Ibrahim baru sahaja meninggal dunia pada Oktober lalu akibat kencing manis.
 
Katanya, disebabkan kekurangan gajet untuk anaknya belajar, lima daripada anaknya itu terpaksa bergilir-gilir berkongsi telefon bimbit miliknya dan peninggalan arwah suaminya untuk mengikuti PdPR.
 
"Setiap hari anak saya iaitu pasangan kembar, Nurul Alia Aneesa dan Nurul Alia Areesa, 6, Nurul Aliah Aqila, 9, Nurul Alia Alesya, 12, dan Muhammad Zuffar Azriel, 16, terpaksa menunggu giliran masing-masing untuk mengikuti PdPR.
 
"Malah anak-anak terpaksa meminjam telefon pintar sepupu mereka yang tinggal berhampiran untuk melakukan tugasan masing-masing," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dewan, Alor Malai di sini pada Sabtu.
 
Katanya, mujur anak keduanya, Nurul Aliah Athirah,18, bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani sesi persekolahan secara bersemuka manakala seorang lagi, Muhammad Zuffar Aidil,15, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) tiada sesi PdPR.
 
Menurut Saadiah, dia tidak mampu menyediakan gajet baharu untuk anak-anaknya belajar disebabkan tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat Pertubuhan Keselamatan (Perkeso) arwah suaminya untuk menyara kehidupan mereka anak beranak termasuklah anak bongsu, Nurul Aliya Afiyya berusia dua bulan.
 
Tambahnya, walaupun anak sulung, Muhammad Zuffar Aliff, 20, telah bekerja namun pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk membantu adik-adiknya dan cukup untuk keperluannya sahaja.
 
Bagaimanapun, nasib keluarga Saaidah mendapat perhatian Kelab Belia Darul Aman dengan kerjasama Pemuda UMNO Kedah yang menyumbangkan dua tablet untuk kegunaan anak ibu tunggal itu.
 
Saaidah berkata, dia berterima kasih di atas keprihatinan Kelab Belia Darul Aman dan Pemuda UMNO Kedah menyalurkan bantuan tablet untuk anak-anaknya, sekaligus memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran.
 
"Alhamdulillah, anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa untuk melakukan tugasan diberikan guru pada sesi PdPR selepas ini," katanya.
 
Sementara itu, Presiden Kelab Belia Darul Aman,Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya dengan kerjasama Pemuda UMNO Kedah mengambil inisiatif mengumpul dana daripada orang awam untuk membantu keluarga Saadiah.
 
"Ketika ini kita dapati isu kelengkapan dan alatan komunikasi seperti telefon pintar mendapat keluhan masyarakat terutama golongan tidak berkemampuan dan memiliki anak ramai yang tidak mampu menyediakan gajet untuk sesi PdPR," katanya.
 
"Susulan itu, kami mengambil inisiatif melancarkan Kutipan Tabung Sumbangan Tablet untuk Pelajar Kurang Berkemampuan bagi membantu lebih ramai pelajar memerlukan," katanya.
 
Katanya, untuk peringkat permulaan, pihaknya berjaya menyediakan 11 tablet untuk pelajar tidak berkemampuan dengan dua daripadanya disumbangkan kepada anak Saadiah.
 
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkifli berkata, pihaknya terkesan dengan nasib ibu tunggal Saadiah yang mempunyai lima anaknya yang terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit untuk belajar.
 
"Saya berharap orang ramai ataupun badan korporat dapat bersama-sama membantu menjayakan program murni ini bagi membantu pelajar meneruskan pembelajaran mereka dalam situasi norma baharu akibat COVID-19," katanya.

30 individu termasuk GRO warga asing ditahan di pusat karaoke

Astro Awani
30 individu termasuk GRO warga asing ditahan di pusat karaoke
Kesemua tahanan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk ujian saringan air kencing. - Astro AWANI
 
PETALING JAYA: Lebih 30 individu termasuk tujuh wanita warga Vietnam yang juga pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu operasi, ke atas sebuah pusat karaoke di Persiaran Mahogani, Petaling Jaya, lewat malam tadi.
 
Selain itu 23 pelanggan dan enam pekerja di premis berkenaan termasuk tiga lelaki warga Myanmar ditahan dalam operasi berkenaan.Operasi yang bermula jam 11 malam itu digerakkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Daerah Petaling Jaya, DSP Syed Mohd Azam Syed Ibrahim.
 
Sebelum serbuan dilakukan, polis menahan dua lelaki yang menjadi pengawal keselamatan di pusat itu.
Mereka dipercayai diupah menjaga premis karaoke berkeaan dan memantau pergerakan polis.
 
Kesemua tahanan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk ujian saringan air kencing.
 
Tindakan mengenakan kompaun dilakukan di bawah Peraturan 12, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
 
Selain Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

Sabtu, 30 Januari 2021

Pindah milik tanah rizab kepada bukan Melayu satu pengkhianatan!

fazleensafina

ISMA harap pihak bersalah mesti dikenakan hukuman tegas

BANGI– Tanah rizab Melayu yang didakwa berpindah tangan kepada bukan Melayu di Sitiawan, Perak adalah suatu pengkhianatan kepada bangsa Melayu.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, sekiranya benar perkara itu berlaku, tindakan sewajarnya perlu diambil ke atas pihak terbabit dalam menjayakan pemindahan tanah rizab itu.

“Pihak yang bersalah mesti dikenakan hukuman yang tegas terhadap pengkhianatan ini, “ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat isu penyelewengan tanah rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Sitiawan, yang didakwa sudah berpindah milik kepada bukan Melayu.

Menurut sumber SPRM Perak, mereka sudah menerima laporan itu dari polis dan telah mengarahkan pasukan siasatan meneliti serta menyiasat kes itu.

“Pihak polis sudah memanjangkan kes kepada kami, kami mengesahkan sudah menerima laporan itu. Ia sedang dalam siasatan kami,” kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, tanah berkenaan telah dipecah kepada 317 lot dengan 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan kini menjadi ladang kelapa sawit.

Beliau menegaskan, pindah milik terhadap tanah yang asalnya digazetkan sebagai rizab tanah Melayu pada 7 Januari 1930 itu bercanggah dengan enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Dakwah boleh dilakukan ketika darurat, wabak - Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Pendakwah perlu lebih proaktif memperkenalkan Islam walaupun dalam keadaan situasi terdesak seperti darurat dan wabak, kata Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, di dalam Islam, dakwah boleh dilakukan dalam apa juga suasana sama ada ketika waktu aman, darurat mahu pun dilanda wabak, tetapi pendakwah perlu kreatif dengan menggunakan amal kebajikan untuk menarik orang kepada Islam.

"Berdakwahlah menggunakan amal kebajikan kerana ia boleh menarik orang kepada Islam.

"Inilah masa kita memperkenalkan Islam kerana dakwah itu bukan sekadar bersyarah saja, tetapi memberikan khidmat kepada masyarakat seperti bantuan perubatan, khidmat sosial, memberi nasihat dan sebagainya," katanya berucap menutup webinar 'Memahami Isu Darurat dan Masa Depan Gerakan Dakwah' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), yang diadakan secara dalam talian, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, darurat dan wabak yang berlaku kini adalah ujian Allah untuk menguji serta mendidik kesabaran manusia.

Katanya, pada masa sama, ia mendidik manusia menggunakan akal fikiran bagi mengkaji dan menyelidik cara untuk melepaskan diri daripada wabak.

"Darurat dan wabak ini mendidik diri untuk menolong orang lain, membuat kebajikan bagi menolong mereka yang menghadapi wabak dan kesusahan," katanya.

Beliau berkata, khidmat kepada orang lain bukan hanya mendapat pahala, tetapi mendidik diri bersyukur dan bersabar selalu.

"Ilmu dan hasil kajian bukan hanya memberi pahala dan manfaat kepada masyarakat, tetapi juga melaksanakan dan mengembangkan lagi ajaran Islam," katanya.

Abdul Hadi berkata, pendakwah dinasihat tidak jumud dan duduk saja dalam suasana wabak serta darurat, sebaliknya perlu terus berusaha menyebarkan ajaran Islam.

Beliau berkata, YADIM sebagai organisasi dakwah juga berperanan besar memberi kefahaman mengenai darurat yang masih tidak difahami ramai.

"Pelaksanaan darurat perlu untuk memerangi wabak dengan menggembleng usaha dan tenaga pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, perubatan, motivasi serta sebagainya.

"Kita perlu bekerja secara berjemaah sebagai satu pasukan mengikut kebolehan masing-masing dan ini satu fardu kifayah," katanya.