Bernama
Beliau
berkata desas-desus berkaitan rombakan Kabinet mungkin hanyalah
kenyataan peribadi sesetengah pemimpin dan tidak mewakili mana-mana
parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail
MELAKA:
Tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet pada masa ini kerana
kerajaan sedia ada berfungsi dengan baik, khususnya ketika negara kini
berdepan penularan COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Beliau
berkata desas-desus berkaitan rombakan Kabinet mungkin hanyalah
kenyataan peribadi sesetengah pemimpin dan tidak mewakili mana-mana
parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Saya
baru lepas bermesyuarat bersama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin
Yassin) petang tadi (semalam) dan dalam perbincangan itu tidak perlu
kita rombak Kabinet pada masa ini.
"Apabila
tiba masa Kabinet dilihat tidak berfungsi dengan baik, ketika itulah
keputusan untuk merombak Kabinet boleh dibuat. Jadi tidak perlulah
mendesak perdana menteri untuk melakukan rombakan Kabinet," katanya
kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Pengamal Media Cetak dan
Elektronik Negeri Melaka di sini, malam tadi.
Mohd
Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata semua
pemimpin parti gabungan PN sama ada yang mempunyai jawatan atau tidak
dalam Kabinet, perlu bersatu mengukuhkan pentadbiran kerajaan hari ini
demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau
berkata semua pemimpin parti politik juga perlu bertanggungjawab dan
berjuang untuk rakyat khususnya meredakan keresahan mereka terhadap
situasi semasa politik negara yang masih belum stabil dan keadaan
ekonomi yang terjejas ekoran penularan COVID-19.
Mohd
Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata pemimpin yang
pentingkan diri sendiri perlu ditolak kerana mereka hanya akan memberi
kesan negatif khususnya dalam usaha gigih kerajaan mengekang penularan
pandemik itu.
Sementara itu, beliau
berkata Muhyiddin juga tidak perlu tunduk kepada pelbagai desakan
termasuk meletak jawatan kerana beliau telah menjalankan tanggungjawab
dengan baik sehingga hari ini.
Mengulas
mengenai laporan media mendakwa Muhyiddin akan mengadakan pertemuan
dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berhubung situasi semasa politik
negara, Mohd Redzuan berkata perbincangan itu dijangka lebih ke arah
persetujuan bersama agar isu rombakan Kabinet tidak ditimbulkan lagi.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan