Sabtu, 10 Oktober 2020

SPRM rakam keterangan lima KPD

Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

BANGUNAN SPRM Putrajaya. FOTO Arkib NSTP.

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan lima Ketua Polis Daerah (KPD) bagi membantu siasatan dakwaan melindungi kegiatan perjudian dalam talian dan Macau Scam didalangi seorang Datuk.

Datuk itu turut didakwa terbabit pengubahan wang haram.

Menurut sumber, KPD itu dipanggil ke pejabat SPRM semalam, namun mereka dilepaskan selepas keterangan diambil.

"Setakat ini tiada tangkapan baharu membabitkan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan pengubahan wang haram," katanya, hari ini.

Sebelum ini SPRM menahan beberapa pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

SPRM turut membekukan 736 akaun dengan nilai RM100.9 juta dipercayai milik sindiket cuci duit yang dikaitkan dengan perniagaan artis sebelum ini.

Sumber memaklumkan, semua akaun itu dikesan ada kaitan dengan sindiket berkenaan, kini dibekukan secara berperingkat.

Selain itu, RM5 juta daripada sindiket itu yang ada kaitan dengan perniagaan artis tanah air juga disita.

Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan 'mencuci' duit haram melalui pelbagai usahasama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram, termasuk perjudian yang memerangkap segelintir artis dengan tawaran modal untuk memulakan perniagaan.

Tiada ulasan: