Kerajaan silap tak wajibkan kuarantin individu pulang dari Sabah sebelum 27 September
BANGI – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti akan membolehkan rakyat ‘mengkuarantinkan’ semua pemimpin politik yang rasis, cauvinis, rasuah, tamak haloba, rakus, pengkhianat, oportunis dan hipokrit.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, pemerhati politik, Mohd Luttfi Abd Khalid berkata, mereka ini telah memperjudikan kedaulatan dan masa depan negara serta kepentingan rakyat, umat dan bangsa, gara-gara keserakahan hawa nafsu mereka.
“Ancaman dari pandemik COVID-19 lebih mudah dihadapi oleh rakyat Malaysia dari saban hari berhadapan dengan kacau bilau politik, ketidakstabilan negara dan masa depan yang tidak menentu, yang ditimbulkan oleh puak-puak yang terlalu obses dengan kuasa.
“Mereka semua perlu bertaubat, meminta maaf kepada seluruh rakyat dan mengembalikan mandat dan hak untuk memilih pemimpin negara kepada para pengundi.
“Orang yang mati tidak akan hidup kembali, tapi para politikus yang tidak berguna boleh dihalau pergi!,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau mengakui kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil bahawa kerajaan membuat keputusan yang salah apabila tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi individu yang pulang dari Sabah sebelum 27 September.
“Benar, ini satu kesilapan. Tapi jangan lupa juga bahawa tamak haloba dan keserakahan nafsu yang membuak-buak untuk berkuasa, merampas kuasa dan kekal berkuasa adalah punca angkaranya.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah testimoni terkuat mengenai pernyataan itu. Baik kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), kamu berdua telah mengecewakan rakyat. Baru pilihan raya negeri, satu negara mendapat tempias pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Beliau menjangkakan sekiranya PRU15 dibuat juga dalam situasi rangkaian pandemik COVID-19 belum putus lagi sepenuhnya, maka seluruh negara akan terpaksa diletakkan dalam keadaan ‘lock down’ dan kuarantin yang lebih lama.
Katanya, bekas pemimpin BERSIH yang sangat rapat dengan kerajaan PH dahulu, Datuk Ambiga Sreenevasan pernah menyuarakan pandangannya supaya jangan adakan pilihan raya awal kerana ia akan menelan belanja yang tinggi.
“Kos yang terbabit iaitu antara 750 hingga 800 juta adalah satu beban kewangan yang sangat tinggi dalam keadaan normal.
“Kos terselindung bila pilihan raya diadakan juga, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, sudah tentu berlipat kali ganda lagi, khususnya dari segi kos keseluruhan untuk menangani wabak ini dan bilangan pesakit yang mencanak naik statistiknya pasca-PRN Sabah.
“Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sedar tak, atau terlupa juga tentang kesilapan titik perpuluhan? Pada waktu itu, siapakah yang akan dipersalahkan pula?,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan