Isnin, 5 Oktober 2020

Pemuda UMNO Sungai Besar terlibat PRN Sabah negatif Covid-19

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR 

Mohd Imran Tamrin

SUNGAI BESAR - Keputusan ujian saringan Covid-19 terhadap semua jentera Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar yang terlibat kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini adalah negatif.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau dimaklumkan semua jentera Pemuda UMNO bahagian itu telah melakukan dua kali ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

"Saya harap tiada lagi rasa kebimbangan atau keraguan tentang tahap kesihatan mereka.

"Saya menggesa agar semua pihak patuh dan jelas berkenaan kedudukan serta status kuarantin kendiri berdasarkan arahan-arahan daripada pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh demikian, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang meminta supaya mana- mana individu tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran dalam komuniti masyarakat.

"Jangan menyebarkan berita atau info yang tidak pasti, (sebaliknya) mereka perlu mendapatkan kepastian dahulu melalui saluran yang betul sebelum memuat naik status di media sosial," katanya.

Sebelum ini tersebar di media sosial status meminta masyarakat berhati-hati dan sentiasa memakai pelitup muka dengan memaparkan gambar beberapa petugas Barisan Nasional (BN) Sungai Besar pada kempen PRN Sabah.

Status itu memaklumkan, adalah lebih baik penduduk duduk di rumah sahaja bagi mengelakkan wabak Covid-19 menjangkit penduduk di kawasan itu.

"(Saya) kongsi sahaja, kalau salah beritahu (saya) supaya kita semua berhati-hati," tulisnya.

Tiada ulasan: