Khamis, 8 Oktober 2020

Pakar ramal kes lesu upaya meningkat akibat bekerja dari rumah

Sebilangan besar orang berisiko ‘burnout’ terutamanya mereka yang terus bekerja 
dari rumah. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan mental meramalkan peningkatan kes Covid-19 akan menyebabkan sebilangan besar orang berisiko mengalami lesu upaya, terutama mereka yang terus bekerja dari rumah.

Sheila Menon, pengetua London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia, berkata persoalan mengenai kemungkinan berlakunya perintah kawalan lain dan ketidakupayaan untuk jangka bila pandemik akan berakhir selepas 8 bulan ini menyumbang kepada keletihan emosi buat sesetengah orang.

Beliau memberitahu FMT, institusinya menyaksikan peningkatan jumlah pesakit dengan gejala yang dikaitkan dengan keletihan emosi dalam 18 bulan kebelakangan ini, terutama dalam kalangan orang dewasa muda, profesional penjagaan kesihatan, guru, dan pengurus.

Katanya, gejalanya termasuk keletihan, sakit kepala atau sakit otot, perubahan selera makan dan corak tidur, kehilangan motivasi, keraguan pada diri dan kecenderungan untuk menangguh kerja serta menarik diri dari tanggungjawab kerja.

Sheila Menon.

“Orang mengalami keletihan apabila mereka terdedah kepada penderitaan emosi, fizikal, atau mental yang berterusan,” katanya.

“Ini sangat mencabar bagi orang yang mempunyai tuntutan lain seperti anak kecil dan kerja atau mereka yang ada ahli keluarga yang menganggap disebabkan anda berada di rumah, anda boleh penuhi permintaan mereka atau keperluan isi rumah.”

Tambahnya, bekerja jarah jauh dan hilang hubungan bersama manusia boleh menyebabkan rasa terasing dan terputus dari tempat kerja.

“Ini juga bermaksud anda tak dapat sokongan atas usaha anda atau rakan sekerja untuk berkongsi kekecewaan. Masalah-masalah tersebut kini menjadi masalah individu dan perlu diuruskan sendiri.”

Sheila mencadangkan hipnosis klinikal sebagai satu bentuk rawatan untuk keletihan, mengatakan ia boleh membina semula keyakinan seseorang dan mengembalikan ketahanan emosi.

Ko Teik Yen, pengarah Pusat Terapi LCCH Hospital Pantai, berkata penting untuk mewujudkan batasan fizikal dalam rumah, seperti menyediakan ruang kerja khusus untuk memastikan ahli keluarga faham dan menghormati privasi seseorang.

Ko Teik Yen.

Beliau berkata mereka yang bekerja jarak jauh perlu belajar mematikan peranti pengkomputeran untuk membantu mengelakkan keletihan.

“Bekerja jarak jauh menimbulkan tekanan unik untuk kelihatan sibuk dan produktif,” katanya. “Oleh kerana anda tak berada di pejabat, anda mungkin berasa tertekan untuk berada dalam talian setiap jam dan sentiasa bersedia untuk perjumpaan maya, menjawab mesej untuk membuktikan anda menghabiskan masa anda dengan cara yang produktif kepada syarikat.”

Ko, yang juga seorang jurulatih kesedaran, mengesyorkan meluangkan waktu tertentu untuk membalas e-mel dan menguruskan kumpulan sembang bagi memastikan kemampuan semua peserta untuk menambah nilai pada perbualan.

Beliau juga menggesa mereka yang bekerja dari rumah untuk mengatur semula aplikasi di layar utama dalam telefon bimbit mereka dan mengubah pengaturan notifikasi untuk mengelakkan gangguan.

Tiada ulasan: