Khamis, 22 Oktober 2020

Noor Hisham: 'Ada penduduk Sabah lari, lihat petugas perubatan'

Malaysiakini

Petugas perubatan berhadapan cabaran dalam usaha membendung penularan Covid-19 di Sabah selepas beberapa penduduk kampung dilaporkan bersembunyi daripada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, petugas barisan hadapan perubatan perlu meminta pertolongan polis untuk membuat penduduk kampung bekerjasama dengan mereka.

"Mereka (yang bergejala) mahu melarikan diri apabila mereka nampak pasukan barisan hadapan datang… di Kampung Air misalnya, ada hutan tebal dan mereka cuba lari ke situ.

“Kami juga berdepan masalah apabila mahu masukkan mereka ke hospital dan perlu memaksa mereka,” katanya.

Menurur Dr Noor Hisham, pendidikan dari segi kesedaran dan memahami penyakit sedikit kurang di Sabah berbanding dengan Malaysia Barat.

"Cabaran kedua adalah ketika kami ingin merawat mereka di hospital, atau ketika mereka tidak simptomatik tetapi positif, kami mempunyai masalah untuk memaksa mereka pergi ke hospital," katanya.

Jelas beliau lagi, kadang-kadang, penduduk kampung akan cuba melarikan diri ketika mereka melihat pekerja perubatan.

Oleh itu polis dan tentera terpaksa dikerahkan untuk mengatasi masalah ini.

Sabah terus merekodkan kes jangkitan tertinggi pada hari ini dengan 535 kes.

Dr Noor Hisham juga berkata tiga kluster baru turut dikesan di Sabah dikenali sebagai Kluster Basung, Kluster Inai serta Kluster Tempayan.

Tiada ulasan: