Selasa, 20 Oktober 2020

Macau Scam: 2 artis terkenal akan dipanggil SPRM

Wartawan MalaysiaGazette
GOH-LEONG-YEONG_MACAU-SCAM-681x454
Raja sindiket Macau Scam dalam negara yang dikaitkan dengan beberapa selebriti 
popular tempatan sangat dikehendaki polis iaitu Goh Leong Yeong yang melarikan diri memanjat pagar SPRM sejurus dibebaskan kini sedang diburu Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Dua artis terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan adalah antara beberapa artis yang dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Artis lelaki dan wanita itu akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela.

Menurut sumber, dua individu terbabit menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih 1 juta pengikut di laman sosial.

“SPRM sudah memberi tempoh masa kepada individu terbabit untuk tampil, namun mereka berdua termasuk individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini gagal hadir memberi keterangan.

“Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro di sini hari ini.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan, walaupun masa dan peluang diberikan, artis serta selebriti disyaki terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram Macau Scam enggan tampil membantu siasatan.

Sumber berkata, walaupun sebelum ini SPRM meminta individu yang pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil, belum ada berbuat demikian.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: